KUALA LUMPUR: Filem animasi, Mechamato Movie terus melakar kejayaan tersendiri apabila mencatat kutipan mencecah RM10 juta selepas enam hari ditayangkan.
Perkembangan tersebut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios yang juga pengarah dan penulis filem animasi terbabit, Nizam Abdul Razak kepada Utusan Malaysia menerusi pesanan WhatsApp, hari ini.
“Alhamdulillah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini berjaya mengutip RM10 juta selepas enam hari ditayangkan. Terima kasih atas sokongan yang diberikan,” tulisnya.
Mechamato Movie ditayangkan di 150 pawagam seluruh negara bermula 8 Disember lalu.
Filem ini menceritakan tentang remaja bernama Amato yang menemukan sebuah kapal angkasa penjara membawa robot jahat yang terhempas ke bumi.
Salah satu robot yang menaiki kapal tersebut adalah MechaBot dengan keupayaan bergabung yang mampu menukar sesuatu objek kepada alat berteknologi tinggi.
Amato berjaya menguasai Mechabot dan menjadi tuan kepada robot berkenaan, seterusnya bekerjasama mengesan dan menangkap robot jahat.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula berbangga apabila filem itu terus menjadi pilihan rakyat Malaysia pelbagai peringkat usia.
“Jutaan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada Mechamato Movie. Saya teruja apabila filem ini berjaya menawan hati rakyat Malaysia.
“Kami bangga apabila filem ini ditonton oleh semua peringkat umur. Alhamdulillah, sehingga sekarang, kami terima maklum balas yang sangat baik.
“Saingan selepas ini lebih sengit, terutama dengan kehadiran filem besar antarabangsa. Namun, kami percaya Mechamato Movie mampu bersaing dengan kualiti penghasilan dan jalan cerita serta keunikan seni warisan dan budaya Malaysia yang ditampilkan,” ujarnya.