Kemalangan dan kecelakaan hingga meragut nyawa insan tersayang di kawasan persekitaran seperti rumah dan kawasan tempat tinggal, antara insiden yang amat meruntun hati.
Robek jiwa lantaran ia berlaku di persekitaran yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita sehari-hari.
Memori kehilangan orang tersayang itu juga barangkali amat sukar dilenyapkan begitu sahaja lantaran ‘lokasi’.
Kajian menunjukkan lebih 50 peratus kemalangan berlaku dalam rumah dan kawasan persekitaran seperti termakan racun, lemas mahupun terjatuh.
Malang memang tidak berbau dan kita tidak dapat menjangka ajal, tetapi selalunya kecuaian kita yang menganggap persekitaran kita selamatlah, yang menjadi puncanya.
Kita tidak sedarpun belakang rumah kita menjadi port budak ponteng sekolah. Atau kita tidak perasan, ada peti ais lama yang ditinggalkan, menjadi lokasi permainan anak-anak kita.
Elakkan daripada terlalu selesa. Apa kata kita dan jiran tetanga, sama-sama buat jadual khusus untuk membersihkan rumah dan persekitaran?.
Sebagai suri rumah, bukan jaminan kita tahu kedudukan barangan berbahaya seperti pisau atau pin yang terjatuh atas permaidani dan atas tangga.
Boleh jadi objek berkenaan terkena kaki ayah kita yang menghidap kencing manis.
Hanya dek terpijak, kakinya boleh terluka lalu merebak.
Kadangkala cawan dan pinggan yang sumbing pun kita tidak sedar sebab seharian kita sibuk dengan kerja atau kita mengambil mudah sesuatu perkara dengan harapan kecelakaan hanya berlaku di rumah orang lain?.
Suka saya mengulangi saranan Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, mengenai semangat bergotong-royong yang perlu menjadi amalan semua orang, tidak kira di rumah sendiri atau persekitaran kita, yang antara lain bertujuan menjaga keselamatan kita sekeluarga.
Ajak keluarga bersama-sama membersihkan kawasan rumah.
Lebih baik kalau semua komuniti turut mengambil langkah sama kerana ia dapat membantu mengenali lokasi bahaya dalam ruang yang lebih luas.
Malangnya hari ini saya lihat tidak banyak kawasan kediaman membudayakan semangat itu, atas pelbagai kekangan, termasuklah kerana sikap kita sendiri yang lebih suka mengupah ‘orang lain’ daripada buat sendiri.
Sewaktu saya kecil dulu, gotong royong memang sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti saya gemari.
Selain dapat bermain-main di luar rumah, ia turut dapat mengeratkan silaturahim kami sekeluarga dengan penduduk kampung.
Rasa puas dan sayang dengan kawasan kejiranan kita, andai dapat bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.