PETALING JAYA: “Alhamdulillah, semua perancangan kami dipermudahkan Allah SWT,” demikian kata pelakon Anita Baharom, 38, yang bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Engku Isyamuddin Tuan Losin pada 22 Disember ini.
Pelakon Dunia Baru dan Keluarga Iskandar berusia 38 tahun itu berkata, mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, bulan lalu dan bersyukur segala perancangan berjalan lancar.
“Pada mulanya, kami merancang untuk bernikah di masjid berdekatan tempat tinggal saya. Namun, ia diubah ke sebuah lokasi acara di Subang Jaya, Selangor kerana mahu lebih ramai berpeluang datang meraikan hari bersejarah kami.
“Kami memilih 22 Disember kerana 2 adalah nombor kegemaran kami, selain tarikh itu juga mudah diingati. Saya sangat bersyukur kerana segala urusan pernikahan kami berjalan dengan baik.
“Begitu juga penerimaan keluarga dan anak-anak. Alhamdulillah, mereka selesa dengan pilihan saya dan berharap perkahwinan ini berkekalan hingga akhir usia,” katanya.
Majlis pernikahan pasangan itu dijadualkan berlangsung pukul 11 pagi. Sebelum diijabkabulkan, Anita berkata, mereka akan mengadakan majlis khatam al-Quran untuk pengantin lelaki.
Pasangan itu saling mengenali sejak 2017 ketika acara Sukan SEA di sini. Namun, mereka mulai rapat apabila Anita tamat edah selepas suaminya, Mohd. Ismadi Ismail, 50, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis pada 1 Januari lalu.
Bakal suaminya yang juga seorang duda bekerja sendiri dan sebelum ini adalah Pengurus Penajaan dan Pengaktifan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd.
Hasil perkahwinan pertamanya, Anita dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Mikail.