Takeoff maut ditembak: Penggiat muzik hip-hop berkongsi duka - Utusan Malaysia

Takeoff maut ditembak: Penggiat muzik hip-hop berkongsi duka

TAKEOFF maut ditembak di sebuah pusat boling di Houston.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Berita kematian anggota Migos, Takeoff, 28, pada awal pagi semalam menerima pelbagai reaksi daripada komuniti hip-hop yang turut berkongsi duka atas pemergian tidak diduga itu.

Anggota termuda dalam trio rap itu maut dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat boling di Houston, Texas kira-kira jam 2.30 pagi (waktu tempatan).

Ja Rule dalam ciapannya di Twitter mengharapkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu segera dihentikan dan menyampaikan salam sayangnya kepada keluarga dan kenalan mangsa.

Lecrae pula menyatakan kesedihannya apabila seorang lagi penyanyi rap yang juga anak lelaki, abang dan kawan seseorang dibunuh.

“Semoga Tuhan bersama dengan mereka yang merasai kehilangan itu,” tulisnya.

Sementara itu, DJ Premier pula mengecam pembunuhan yang disifatkannya sebagai perbuatan tidak masuk akal.

“Takziah kepada keluarga Takeoff. Ia sangat menyedihkan apabila dibunuh dalam situasi tidak masuk akal ketika meraih begitu banyak kejayaan,” tulisnya.

Berita kematian pemilik nama sebenar Kirshnik Khari Ball itu disahkan oleh wakilnya kepada Associated Press.

Media tempatan, KHOU melaporkan, kejadian tembakan itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di luar bar di tingkat tiga premis.

Polis memaklumkan, sekitar 40 hingga 50 tetamu berada di parti tertutup itu ketika tembakan dilepaskan.

Pengawal keselamatan yang mendengar bunyi tembakan bagaimanapun, gagal mengesan orang yang melakukannya.

Pegawai penyiasat yang tiba di tempat kejadian berkata, mereka menemui sekumpulan orang ramai bersama seorang lelaki dalam usia 20-an dengan kesan kecederaan tembakan di kepala atau tengkuknya. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Takeoff dikenal pasti sebagai mangsa menerusi laporan beberapa media, termasuk TMZ, Variety dan Hollywood Reporter.

Polis bagaimanapun, memaklumkan mereka enggan mendedahkan identiti selagi keluarga mangsa belum diberitahu.

Polis turut memaklumkan, dua lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan peribadi.

Jurucakap polis berkata, premis itu dijadikan lokasi untuk satu parti tertutup yang berakhir kira-kira jam 1 pagi, namun berlarutan lebih sejam.

“Pada masa itulah kejadian tembakan berlaku. Kami masih dalam proses penyiasatan awal, mengumpul sebanyak mungkin informasi dan berharap mendapat kerjasama orang ramai,” katanya.

Dikenali sebagai antara kumpulan berpengaruh,  Migos menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi lagu popular seperti Bad and Boujee, Versace dan Walk It Talk It.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya