Tak mungkin BCL muncul dalam konsert esok - Ariel Noah - Utusan Malaysia

Tak mungkin BCL muncul dalam konsert esok – Ariel Noah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harapan peminat untuk menyaksikan kemunculan Bunga Citra Lestari (BCL) pada konsert Noah Live In Kuala Lumpur, esok tidak kesampaian kerana penyanyi itu diberitakan sudah pulang ke Jakarta, Indonesia.

Vokalis Noah, Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Irham, 41, berkata dia bersama anggota kumpulannya juga tidak sempat bertemu penyanyi itu yang dikhabarkan pulang, semalam selepas selesai komitmennya di sini.

“Kami tidak sempat bertemu kerana sejurus tiba di Kuala Lumpur, Bunga sudah pulang. Lagipun, memang tiada perancangan untuk kami menjayakan kolaborasi kerana konsert esok khusus buat peminat Noah.

“Sudah lama kami tidak bertemu peminat di sini, jadi kami mahu memberikan sepenuh hati kepada penggemar Noah dalam konsert tersebut. Kalau ada kolaborasi, mungkin pada konsert akan datang.

“Tetapi, kami berhasrat untuk menjalin kolaborasi dengan pemuzik Malaysia. Perkara ini masih difikirkan dan mungkin akan direalisasikan tahun hadapan,” kata Ariel ketika ditemui pada sidang media Yolo Malaysia Exclusive Hi Tea di ibu negara, petang tadi.

Sementara itu, Ariel yang ditemani dua anggota Noah iaitu David dan Lukman mengakui, teruja dapat kembali bertemu peminat di negara ini selepas kali terakhir mengadakan konsert di sini pada 2017.

Berkongsi mengenai konsert yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur itu, Noah akan mempersembahkan 16 lagu, merangkumi judul hits ketika dikenali sebagai Peterpan, selain petikan lagu daripada dua album terbaharu mereka.

“Tidak semua lagu akan kami persembahkan. Namun, ada beberapa lagu hits, termasuk lagu daripada album baharu kami. Antara lagu yang kami akan bawakan termasuk Wanitaku dan Di Atas Normal.

“Dua lagu itu diberi susunan muzik baharu yang lebih segar. Mengenai kejutan, pastinya ada namun tunggu sahaja esok,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya