SHAH ALAM: Juri tetap Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Datuk Syafinaz Selamat mengambil pendirian untuk tidak mengendahkan kritikan yang dilemparkan terhadap penampilannya ketika muncul pada persaingan suku akhir program tersebut, malam tadi.
Bagi Syafinaz, dia tidak perlu menjawab atau membalas semua komen negatif terhadap pilihan busana yang digayakannya kerana setiap individu mempunyai tafsiran tersendiri.
“Saya mahu hidup yang gembira tanpa memerlukan nasihat daripada orang lain, terutama tentang apa yang perlu saya lakukan. Kalau suka, ikut. Kalau tidak suka, ‘just swipe’ (abaikan).
“Sebenarnya, beginilah saya dari dahulu sampai sekarang. Usia saya bakal mencecah 50 pada tahun hadapan. Saya tidak mahu hidup dikongkong oleh orang lain. Kalau anda suka dan gembira dengan penampilan saya, terpulang. Tetapi, kalau tidak gembira, abaikan.
“Semuanya pilihan kita sendiri. Nak komen pun jika perlu sahaja. Kalau rasa tidak perlu, jangan komen apa-apa. Macam saya sendiri, perlukah saya balas semua komen orang?” katanya.
Syafinaz berkata demikian sebagai mengulas mengenai penampilannya yang dikatakan agak seksi ketika muncul dalam program yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini.
Syafinaz berkata, masyarakat tidak perlu memeningkan kepala memberikan komen terhadap sesiapa sahaja jika sesuatu perkara dilihat tidak kena dengan cara dan pilihan mereka.
“Kenapa perlu susah hati? Tidak perlu komen semua perkara di dunia ini. Jalani kehidupan anda sendiri. Saya tidak kacau orang, jadi jangan kacau saya,” katanya.
Bercakap tentang penampilan dan gaya fesyennya yang sering mencuri tumpuan netizen pada setiap konsert mingguan GV9, Syafinaz menjelaskan, dia dibantu pasukan yang dipercayai dan selesa bekerjasama.
Pada persaingan minggu kesembilan itu, Syafinaz menggayakan busana rekaan Ashley Wong, namun material digunakan seolah-olah menampakkan kulit pada bahagian dada dan lengan menyebabkan segelintir pihak kurang selesa dengan pemilihan pakaian itu.