PETALING JAYA: Penyanyi Dina Nadzir tidak ralat terpaksa meninggalkan pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), malah sudah menjangka tidak mampu bertahan lama susulan berdepan masalah peti suara.
Dina berkata, dia bertekad teruskan juga perjuangan walaupun sudah dinasihatkan doktor supaya berehat selama sebulan bagi memastikan peti suaranya kembali pulih.
“Saya berjuang sehabis baik sehingga peti suara mengalami kecederaan serius. Masalah ini sudah lama berlarutan dan doktor menasihatkan saya supaya berehat sebab nanti suara akan bertambah serak dan berisiko tidak boleh menyanyi sampai bila-bila.
“Tetapi, saya ketepikan semua masalah dan cuba buat yang terbaik setiap minggu dalam GV9. Jangan kata saya tidak bersungguh-sungguh. Saya ibaratkan diri seperti pemain bola sepak yang kaki sudah patah, tetapi tetap teruskan permainan. Itu yang saya alami sekarang,” luahnya.
Mengulas penyingkirannya pada Separuh Akhir GV9, Dina berkata, dia sebenarnya menjangka akan tersingkir lebih awal, malah akur persembahannya juga tidak konsisten setiap minggu.
“Saya realistik dan sedar kemampuan diri tidak sehebat peserta lain yang bertanding. Dari minggu kelima dan keenam lagi, saya sudah menjangka akan tersingkir awal,” katanya.
Dalam pada itu, Dina menafikan, dia tidak memikirkan aspek kepelbagaian dalam setiap persembahan yang membuatkan kemunculannya kurang mendapat perhatian juri.
“Dari aspek pemilihan lagu, saya turut mencuba genre berbeza seperti dangdut dan zapin. Namun, juri lebih mengetahui dari aspek teknikal.
“Mungkin saya membawa genre berbeza, tetapi teknik nyanyian sama,” katanya.
Minggu Separuh Akhir bertemakan Separuh Aku, Ada Kamu menuntut peserta melunaskan dua tugasan iaitu persembahan solo dan duet dengan rakan artis.
Dina yang membawakan lagu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika hanya meraih markah 59.2 peratus, berkongsi kedudukan tercorot dengan Fuad (58.3 peratus) yang menyanyikan lagu Di Alam Fana Cintamu, seterusnya diumumkan tersingkir, malam tadi.