Pastikan suara wanita didengari - Utusan Malaysia

Pastikan suara wanita didengari

MENJADI tanggungjawab warganegara yang layak mengundi memilih pemimpin dalam PRN akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penamaan calon hari ini merungkai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Maka bermulalah episod calon meraih undi, turun padang menemui pengundi dengan lebih giat lagi.

Begitupun saya perhatikan lebih ramai yang suka menjadikan pentas berkempen sebagai platform mengeji mengata parti lawan.

Tak perlu ke lapangan untuk mendengar kempen. Di hujung jari pun kita boleh ulang tonton kempen yang ada.

Segelintir berpandangan, berkempen itu memang rencahnya mencerca parti lawan. Kalau ‘baik je’, lebih baik jangan berkempen sebab tidak ramai yang suka mendengar cerita baik.

Cerita buruklah yang lazimnya menjadi keseronokkan pengundi untuk mendengarnya. Sama ada betul atau tidak terpulang kepada individu.

‘Formula’ memburukkan pihak lawan saya perhatikan sudah terpakai sejak dulu, sejak saya mulai boleh memahami situasi semasa.

Seharusnya peluang yang ada digunakan sebaik mungkin menjelaskan perubahan yang bagaimana calon boleh bawakan kalau menang.

Kita marah bila anak muda berkata kesat, sedangkan kita buat-buat lupa, orang dewasa dan pemimpin jugalah yang acuannya. Mereka belajar dari situ.

Saya kira pendekatan berkempen dari rumah ke rumah, walaupun dianggap konvensional dan ketinggalan zaman, tetapi ia tetap penting bagi memberi sentuhan peribadi kepada pengundi, selain membolehkan masyarakat menilai kesungguhan parti bertanding.

Yang mana ketika sesi bersemuka itulah kita boleh baca gerak tubuh dan cetusan pandangan calon dan pengundi yang mana jika kempen hanya dilakukan menerusi media sosial, semua itu tidak dapat dilihat malah pengundi juga sudah pasti menganggap parti bertanding tidak serius mahukan undi mereka.

Wanita khususnya manfaatkanlah sesi berkenaan untuk berkongsi pandangan mengenai bagaimana calon boleh membangunkan sosio ekonomi penduduk. Inilah masanya untuk meluah rasa dan menggunakan kuasa kita sebagai pengundi.

Bukannya waktu calon datang, kita hanya tersenyum dan bersalaman, selebihnya menyerahkan kepada takdir, siapa yang menang pandai-pandailah mereka mengotakan janji. Bukan begitu ya.

Kalau boleh ambil peluang menulis atau buat cadangan tertentu untuk calon. Manalah tahu kalau cadangan kita itu nanti diberikan perhatian, lagipun wanita lebih prihatin apa yang terbaik untuk keluarga. Rezeki di tangan Allah.

Kuasa undi wanita dan anak muda itu besar maknanya, lebih-lebih lagi pada PRU ini. Manfaatkan masa ini dengan suara kita.

Dalam kerancakan itu, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi keselamatan diri lantaran kes Covid-19 dilaporkan semakin bertambah.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya