KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Anita Sarawak yang kini menetap di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan baik bersama suaminya, Mahathir Abdullah, sekali gus menafikan segala khabar angin mengenai dirinya sebelum ini.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Noorkumalasari, 66, yang juga adik tiri kepada penyanyi yang hilang dari radar industri hiburan sejak 12 tahun lalu.
Meskipun sebagai ahli keluarga, Noorkumalasari yang mesra disapa Noor berkata, hanya kakak sulungnya yang berpeluang berkomunikasi dengan Anita.
“Dia (Anita) tidak hubungi saya sebab tahu, saya rapat dengan media. Dia pernah hubungi kakak sulung dan mengirim salam pada ahli keluarga lain.
“Sebelum ini, dia ada menghubungi kami ketika sambutan hari raya dan semua ahli keluarga dapat bercakap dengannya,” katanya ketika ditemui selepas forum anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Selamat Pagi Sayang ini memberitahu, sebagai adik, sudah tentu dia menyimpan rindu terlalu mendalam terhadap Anita.
Katanya, kali terakhir dia dapat menghubungi Anita sebelum penyanyi itu berangkat ke AS, lebih 10 tahun lalu.
Tambah Noorkumalasari lagi, ahli keluarganya juga tidak berusaha mencari Anita kerana tidak mahu pulang hampa dan kecewa.
“Sebelum ini, pernah berlaku individu yang berusaha datang dari Kuala Lumpur dan mencarinya di sana. Namun, dia tidak dapat berjumpa langsung.
“Sepatutnya Anita bersimpati sebab individu tersebut sudah berusaha datang mencari dia. Kenapa sampai begitu sekali layanannya?,” katanya.
Ditanya perkembangan Anita, Noorkumalasari berkata, dia dan suami sibuk menguruskan perniagaan serta mahu menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sorotan media.