'Nafas jadi pendek, susah nak jerit lepas kena Covid-19'

‘Nafas jadi pendek, susah nak jerit lepas kena Covid-19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 43, memaklumkan kualiti nyanyiannya sedikit terganggu gara-gara pernafasannya menjadi pendek selepas dijangkiti Covid-19.

Siti berkata, sebagai penyanyi, sudah tentu suara adalah aset penting dan kesan daripada jangkitan itu menyukarkan dirinya untuk mencapai nada tinggi bagi sesebuah lagu.

Enggan menjadikan situasi itu sebagai halangan untuk memberikan persembahan terbaik, penyanyi Purnama Merindu itu berkata, dia berusaha mengekalkan stamina dengan mengambil kelas seni pertahanan diri.

“Sekarang ini, saya aktif dengan sukan Muay Thai untuk kembalikan stamina dan saya dapat rasai banyak perubahan selepas mengikuti kelas tersebut.

“Saya berusaha untuk mendapatkan semula kualiti suara, terutama melibatkan nada tinggi. Selepas menghidap Covid-19, saya perlu jaga makan dan lebihkan latihan melibatkan stamina. Ada juga yang cadangkan buat latihan berenang dan saya turut lakukan di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas persembahan pertama Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menampilkan Datuk Awie di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert yang dianjurkan selama dua malam itu menyaksikan ibu dua cahaya itu membawakan 17 lagu menerusi empat segmen, termasuk lagu medley dan duet bersama Awie.

Selain lagu balada, Siti turut menyampaikan beberapa lagu tradisional seperti Pantun Budi dan Ya Maulai sebagai penutup persembahan.

Mengulas persembahan yang berlangsung selama dua jam itu, Siti melahirkan kepuasan kerana dapat memberikan persembahan terbaik.

Malah, akui Siti, semangat yang ditunjukkan penonton meresap ke dalam dirinya untuk mempamerkan persembahan yang memberikan kepuasan kepada semua yang hadir.

“Saya sangat bersyukur dengan latihan rapi dan yakin mampu buat lebih baik malam ini (hari terakhir). Ini adalah persembahan eksklusif bagi mengutip dana untuk Yayasan NurJiwa dan penganjuran kali ini sangat istimewa sebab mendapat respons baik daripada orang ramai.

“Jualan tiket juga sangat memberangsangkan bagi kedua-dua malam. Susunan lagu  ada yang dibawa dalam versi asal dan diberikan nafas baharu di bawah pimpinan pengarah muzik, Aubrey Suwito,” katanya.

Ogos lalu, penyanyi tersohor itu mengaku mengalami simptom Covid-19 berpanjangan selepas dijangkiti wabak tersebut sebaik pulang bercuti dari London.

Sejak itu, dia kerap mengalami batuk-batuk, namun bersyukur keadaan itu tidak mengganggu setiap persembahan pentas yang dijayakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya