Nad Zainal mula gerakkan tangan, angguk kepala - Utusan Malaysia

Nad Zainal mula gerakkan tangan, angguk kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal dilaporkan menunjukkan perkembangan semakin baik apabila sudah mula menggerakkan tangan dan menganggukkan kepala, namun masih di bawah pemantauan doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang.

Perkembangan itu dikongsi teman baiknya yang juga pelakon, Ungku Ismail menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian itu, Ungku Ismail memaklumkan, pelakon Hati Yang Tersakiti itu menunjukkan perkembangan positif setiap hari, malah doktor juga sudah mengurangkan pemberian ubat sejak tiga hari lalu.

“Setiap hari pasti ada perkembangan kecil ditunjukkan. Tapi ada ketika agak membimbangkan apabila paras oksigen dan tekanan darahnya naik turun.

“Alhamdulillah, progress itu ada dan Nad sudah boleh membuka sedikit mata, menggerakkan tangan serta mengangguk kepala apabila kita bercakap dengannya.

“Namun, Nad masih dirawat di ICU  dan itu bermakna keadaannya masih kritikal, jadi tidak boleh terlalu gembira.

“Kami berharap dan berdoa paru-paru Nad benar-benar sembuh kerana kini mesin pernafasan masih belum dicabut walaupun kadarnya sudah dikurangkan,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Ungku Ismail turut menjelaskan keadaan sebenar Nad yang bukannya koma atau tidak sedarkan diri secara tiba-tiba seperti yang disangka ramai.

“Dia sebenarnya diberikan doktor dua ubat, satu supaya tidak boleh bergerak, manakala satu lagi ubat tidur. Ia bertujuan melancarkan operasi dan baik pulih badan, terutama paru-parunya.

“Ubat itu juga memudahkan doktor merawat dan menjalankan prosedur sepatutnya. Jika pemberian ubat itu dihentikan, Nad akan sedar.

“Doktor juga masih menganalisis setiap hari untuk memastikan waktu yang sesuai sebelum alat bantuan pernafasan dicabut,” katanya.

Dalam pada itu, Ungku Ismail juga berharap, orang ramai menghormati ibu dan bapa Nad serta tidak mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan mereka di media sosial.

“Berilah ruang kepada ibu dan bapa Nad bertenang supaya dapat berfikir menyelesaikan masalah yang dihadapi anak tunggal mereka. Jangan runsingkan lagi keadaan mereka.

“Saya juga harap orang ramai  tidak salah faham dengan keadaan yang dialami Nad,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya