Mona tak perlu umum kalau sudah bertudung - Pekin - Utusan Malaysia

Mona tak perlu umum kalau sudah bertudung – Pekin

PEKIN bersyukur dengan perubahan Mona yang kini tampil berhijab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Pekin Ibrahim memaklumkan, dia menyambut baik apabila isterinya, Mona Allen bertudung, namun berharap perubahan itu tidak diumumkan secara terbuka di media sosial.

Pekin, 41, berkata, sebagai suami, sudah tentu dia menyokong niat isterinya itu dan berharap Mona, 37, yang juga seorang pelakon, istiqamah dalam melakukan perubahan.

“Saya tidak pernah paksa dia untuk berhijab. Saya mahu dia buat atas kerelaan hati. Sekiranya dia memang sudah bersedia untuk bertudung, teruskan.

“Mona sebelum ini, tidak pernah memberitahu dia mahu bertudung. Dia ada anginnya sendiri dan saya ingat, dia hanya cuba-cuba.

‘Tetapi, jika dia sudah tetapkan hati untuk bertudung, saya memang menyambut baik dan akan memberikan sokongan,” katanya.

Pekin bagaimanapun mengakui, dia  melarang Mona mengumumkan perubahannya itu jika masih di peringkat mencuba.

“Saya beritahu Mona, tidak perlu buat sebarang perkongsian seperti pengumuman di media sosial. Saya tidak mahu kalau berlaku sebaliknya nanti, dia dikecam netizen.

“Sebagai pelakon, orang kenal dan setiap kelemahan kita akan perhatikan serta dihentam. Saya tidak mahu perkara itu berlaku kalau dia kembali dengan imej tidak bertudung,” ujarnya.

Berharap perubahan pada Mona itu berkekalan, Pekin berkata, dia menasihatkan isterinya itu supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan.

“Rezeki Allah yang tentukan. Ramai saja pelakon bertudung, tetapi masih terima banyak tawaran berlakon,” katanya.

Pelakon filem 7ujuh itu turut memberitahu, dia tidak pernah memaksa Mona untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak sulung mereka, Petra Pekin.

“Hal itu juga saya serahkan kepada Mona untuk membuat keputusan. Bila sudah bersedia, dia akan kembali (berlakon).

“Buat masa ini, bayi kami masih menyusu badan. Mungkin dia belum sedia tinggalkan Petra.

“Apa juga perancangannya, saya sokong. Kalau dia mahu berniaga, saya tiada halangan kerana dia pernah menyuarakan hasrat untuk membuka kedai keperluan kucing,” tambahnya.

Mona dan Pekin mendirikan rumah tangga pada Disember 2018. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata, Petra yang lahir pada 31 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya