KUALA LUMPUR : Gara-gara terlalu banyak komitmen, selain jadual kerja terlalu padat, penyampai radio Suria FM, DJ Lin terpaksa ‘menyerah diri’ ke hospital selepas berdepan masalah kesihatan.
Menurut Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid, dia mengalami ketidakselesaan pada tubuhnya dan hampir pitam ketika menjayakan acara membabitkan stesen itu, semalam.
“Saya rasa sakit pada sebelah kiri perut dan badan pula terasa sangat lemah sehingga berapa kali hampir gelap mata.
“Selesai sahaja acara Suria FM, saya terus serah diri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Masih ada beberapa ujian yang perlu dibuat untuk kenal pasti masalah sebenar, termasuk ultrasound dan imbasan CT,” katanya.
Pengurus Besar Suria FM itu dimasukkan ke wad, semalam dan diletakkan di bawah pemantauan sehingga Ahad ini.
Penyampai segmen Suria Cinta itu bagaimanapun, melahirkan perasaan terharu apabila dihujani ucapan dan doa daripada peminat sebaik mengetahui dia dimasukkan ke hospital.
Katanya, dia turut menerima pelbagai hadiah daripada rakan dan peminat, membuatkan dirinya rasa dihargai serta disayangi.
“Terima kasih atas kasih sayang semua. Saya sangat menghargainya. Begitu juga jururawat yang menjaga saya dengan baik. Terharu apabila dimaklumkan, mereka adalah pendengar setia dan peminat DJ Lin.
” Doakan saya lekas sembuh dan dipermudah segala urusan. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik semua,” katanya.