KUALA LUMPUR : Pelakon yang juga usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta, reda apabila ahli keluarga, termasuk anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana dijangkiti Covid-19 buat kali ketiga.
Pelakon berusia 49 tahun itu berkata, dia tidak menyangka mereka akan kembali diuji, memandangkan semua ahli keluarga, termasuk pembantu rumahnya sebelum ini, berada dalam keadaan sihat.
“Ahad lalu, saya ke Ipoh, Perak untuk menghadiri sebuah acara. Tiba-tiba saya mendapat mesej daripada Zain memaklumkan Aaisyah demam. Selepas membuat pemeriksaan, baru tahu dia dijangkiti Covid-19 .
“Sehari sebelum itu, Zain dan Aniq turut dijangkiti penyakit sama. Begitu juga pembantu rumah. Mereka menunjukkan simptom seperti demam dan selesema. Ini kali ketiga keluarga saya dijangkiti Covid-19.
“Alhamdulillah, buat masa ini, saya dan Ammar masih negatif dan sihat. Kami kini duduk di rumah menjalani kuarantin. Saya sentiasa memantau keadaan Aaisyah, selain memberikan beberapa vitamin sampingan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Semalam, pelakon drama Mem Bibik dan pengacara program, Mai Cheq Deko itu membuat perkongsian di Instagram, memaklumkan keadaan Aaisyah yang kurang sihat.
Menerusi hantaran tersebut, Che Ta meluahkan kegusaran apabila Aaisyah jatuh sakit pada hari ulang tahun kelahirannya yang kelapan. Sehubungan itu, Che Ta terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengadakan acara sempena sambutan hari lahir Aaisyah.
Bagaimanapun menurut Che Ta, sambutan akan tetap diadakan apabila keadaan kesihatan ahli keluarganya semakin pulih.
Dalam pada itu, Che Ta turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga memandangkan wabak itu masih wujud.
“Apa yang berlaku pada kami sekeluarga ini adalah contoh. Semua orang tahu, saya ini sangat paranoid dengan wabak ini dan sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka setiap kali keluar rumah.
“Saya tengok ramai yang seperti mengambil ringan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat sesak. Saya kalau boleh tidak mahu lagi dijangkiti Covid-19 kerana sudah merasai peritnya menanggung kesakitan.
“Terasa seperti mahu putus nyawa. Disebabkan itu, kami sentiasa berjaga-jaga,” katanya.