Idan Aedan lakar sejarah bintangi siri Netflix - Utusan Malaysia

Idan Aedan lakar sejarah bintangi siri Netflix

MR. Midnight: Beware The Monsters buka langkah Idan Aedan untuk bekerjasama dengan produksi antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Idan Aedan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah, 18, melakar sejarah peribadi dalam perjalanan kerjaya lakonannya apabila menjadi pelakon tempatan pertama membintangi siri antarabangsa untuk siaran saluran Netflix.

Menerusi siri 13 episod, Mr. Midnight: Beware The Monsters yang menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan 2021 itu, Idan diberi kepercayaan membawa watak utama sebagai Tyar.

“Saya bersyukur diberikan peluang besar ini. Pada usia 17 tahun ketika itu, saya tidak pernah terbayang untuk sampai ke tahap itu. Alhamdulillah, ia merupakan kejutan rezeki buat saya.

“Bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa seperti bermimpi pun ada. Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya.

“Apatah lagi, dapat berlakon dalam produksi genre kesukaan saya iaitu seram. Saya tidak sangka rezeki ini datang terlalu cepat,” ujarnya yang teruja dapat bekerja dengan tiga pengarah dan  pelakon hebat dari luar negara seperti Tony Tilse, Sean Oliver serta Yee-Wei Chai.

Tambah Idan lagi, menerusi siri tersebut, dia juga bergandingan dengan pelakon popular Indonesia iaitu Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier.

Idan juga bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon seperti Caleb Monk, Chen Yixin, Nikki Dekker dari Australia.

“Kenangan itu terlalu manis dan tidak dapat saya lupakan. Bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa adalah pencapaian yang tidak pernah saya terfikir.

“Selain pengarah dan gandingan pelakon yang hebat, cara bekerja juga berbeza. Bukan sahaja belajar tentang lakonan, saya turut diberikan pendedahan mengenai kerja kamera dan aspek teknikal lain supaya lebih memahami keseluruhan perjalanan cerita,” ujarnya.

Idan memaklumkan, dia tidak kekok berbahasa Inggeris dalam siri tersebut memandangkan ibunya sering menggalakkannya menonton program televisyen dari luar sejak kecil.

“Pada awal penggambaran, janggal juga kerana pengarah dan semua kru bercakap dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini, saya banyak membintangi produksi Melayu, tetapi di lokasi Mr. Midnight, semua bercakap bahasa Inggeris. Agak terkejut juga, tetapi selepas itu saya dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Bercerita tentang keistimewaan watak yang diadaptasi daripada novel popular Singapura itu, Idan berkata, Tyar boleh melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus disebabkan keturunan di sebelah ibunya adalah dukun.

“Tyar tidak tahu bagaimana hendak mengawal situasi tersebut. Pelbagai konflik timbul dan kalau ingin tahu bagaimana dia berhadapan dengan dunia ghaib, kenalah tonton siri itu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya