PETALING JAYA: Penyanyi yang juga vokalis kumpulan Slam, Zamani selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis sekitar pukul 3.15 petang tadi.
Isteri penyanyi itu, Nur Juliana Abd. Rani memaklumkan berita itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, beberapa jam lalu.
Dalam hantaran sama, Nur Juliana turut menyertakan gambar bilik pembedahan penyanyi itu menjalani prosedur tersebut bersama catatan ringkas berterima kasih atas doa yang diberikan untuk suaminya.
“Syukur Alhamdulillah. Dengan izin Allah, Abang Zamani selamat menjalani pembedahan sebentar tadi. Terima kasih di atas doa buat Abang Zamani,”.
Difahamkan Zamani dimasukkan ke dewan bedah di sebuah pusat perubatan di Cheras untuk menjalani prosedur tersebut sekitar pukul 8 pagi tadi.
Zamani sebelum ini memaklumkan, pembedahan itu membabitkan dua tunjang yang bermasalah dan agak kritikal.
Dia bagaimanapun, positif menjalani prosedur tersebut dan difahamkan, proses pemulihan mungkin mengambil masa sekitar dua hingga enam minggu.
“Bagaimanapun, untuk pulih sepenuhnya dan boleh bekerja semula mungkin ambil masa antara dua hingga tiga bulan,” katanya.
Zamani berkata, sepanjang tempoh itu, dia perlu menjalani fisioterapi dan ulangan rawatan.
Penyanyi Gerimis Mengundang itu berhadapan masalah tulang belakang membengkok sejak beberapa tahun lalu yang memerlukannya menjalani pembedahan segera.