Vida teruja dapat layanan 'superstar'

Vida teruja dapat layanan ‘superstar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usahawan sensasi yang berjinak-jinak dengan industri seni, Datuk Seri Vida memaklumkan, bukan semua tawaran nyanyian diterimanya kerana dia sangat mementingkan kualiti sesebuah lagu.

Katanya, lagu Ku Ikhlaskan yang diperkenalkan sejak Mac lalu dan dinyanyikan semula oleh banyak penyanyi sehingga mendapat tempat di media sosial menjadi penanda aras supaya dia lebih teliti dalam kerja seni.

Atas alasan itu, pemilik nama sebenar Hasmiza Othman agak selektif memilih tawaran walaupun hanya untuk membuat kemunculan istimewa dalam single baharu penyanyi Singapura, Alyph iaitu Swipe.

“Saya lihat dulu apa lagunya, siapa komposer dan bagaimana bentuknya kerana kita sudah dilabelkan (bagus) dengan Ku Ikhlaskan, tiba-tiba kita mahu menjatuhkan diri sendiri. Saya tidak mahu begitu.

“Banyak tawaran yang saya tolak, malah ada lagu yang sedap untuk berduet, tetapi saya tidak terima. Saya juga terpaksa tolak jika rasa tidak dapat serasi sebagai pasangan duet.

“Walaupun sesebuah lagu mungkin biasa-biasa saja, ia akan menjadi lebih sedap jika wujud keserasian dengan penyanyi utama,” katanya selepas majlis pelancaran single Swipe di Pavilion, baru-baru ini.

Mengulas mengenai keserasian dengan Alyph, Vida yang pernah dilabel sebagai ‘perosak industri’ menyatakan, penyanyi itu memberinya kebebasan untuk mencorakkan lagu tersebut.

“Saya juga bebas untuk berkarya dan ad-lib  ketika penghasilan video muzik. Banyak peristiwa berlaku seperti hujan dan jalan berlecak, belum lagi untuk ingat setiap pergerakan demi menyiapkan single tersebut,” kongsinya.

Disentuh soal bayaran, Vida berkata, dia berbangga apabila menerima layanan ‘superstar’ baik dari segi pakaian, makan minum dan tatarias yang ditaja sepenuhnya.

“Saya tidak pernah ditaja sebelum ini, jadi terasa diri dihargai apabila menerima layanan begitu, termasuk disediakan pasukan media sosial dan pengurusan. Kelas ke tidak?” katanya.

Sementara itu, Alyph yang berasal dari Singapura mempunyai alasan tersendiri apabila menjalin kolaborasi bersama wanita yang sering dikaitkan sebagai individu dahagakan publisiti.

“Tujuan saya berkolaborasi dengan Vida adalah untuk menghapuskan dan menghancurkan sentimen tersebut.

“Saya mahu tunjukkan media sosial bukan semata-mata apa yang kita nampak. Kalau buat kerja muzik dengan citarasa memikat, insya-Allah hasilnya akan diterima baik,” katanya.

Bermula sebagai anggota duo, SleeQ, Alyph seterusnya bertatih sebagai artis solo dan penerbit muzik. Dia pernah diberi kepercayaaan menghasilkan lagu untuk nama besar seperti Joe Flizzow, Kaka Azraff, De Fam dan Adira.

Lagu terakhir ciptaannya, Mimpi nyanyian K-Clique muncul sebagai antara lagu paling menggegarkan arena hip-hop  apabila video muziknya mendapat lebih 45 juta tontonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya