PETALING JAYA: Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor mengakui perasaan gementar yang melampau ada kala memberi impak terhadap persembahannya, malah pernah dia tidak dapat memegang mikrofon dengan baik kerana menggigil.
Kongsi Jaclyn, perasaan gementar menjadi semakin teruk apabila dia terlalu berusaha memberikan nyanyian terbaik demi memastikan kesempunaan dalam setiap persembahan.
“Saya terlalu mendesak diri. Bukan untuk menang, sebaliknya cuma mahu memberikan yang terbaik. Keinginan itu membuatkan saya gementar, terutama apabila melibatkan pertandingan. Sampai suatu ketika, pegang mikrofon pun saya menggigil.
“Ada yang ingat saya sengaja buat cerita, tetapi saya tidak tipu. Memang secara semula jadi, perasaan gugup atas pentas akan datang. Kadang-kadang ia memakan diri apabila saya terlalu banyak berfikir sebelum naik ke pentas.
“Saya mahu berikan yang terbaik dan itu menjadikan saya lebih gugup. Saya tidak boleh kawal perasaan gementar,” katanya.
Sepanjang lima minggu persaingan dalam Gegar Vaganza musim kesembilan, Jaclyn berjaya memukau peminat apabila beberapa kali muncul juara mingguan menerusi persembahan vokal yang cukup hebat.
Biarpun segelintir pihak mempersoalkan penyertaannya dalam program hiburan tersebut, bagi Jaclyn, GV adalah pentas terbaik untuk dia bereksperimen dan mendalami ilmu muzik.
Mengulas tentang persembahan duet bersama Aina Abdul menerusi lagu Cinta (nyanyian asal Marsha Milan), Ahad lalu, Jaclyn berkata, dia tidak mahu menjadi penyanyi yang ‘berperang’ di atas pentas semata-mata untuk menunjukkan kehebatan vokal.
“Saya tidak mahu jadi penyanyi yang buat hal sendiri atas pentas. Saya dan Aina tahu kekuatan masing-masing dan kami saling bertukar idea. Dia penyanyi yang sangat baik.
“Memandangkan saya yang menyertai pertandingan, Aina memberikan lebih ruang untuk saya menyerlah. Dia bagaimanapun, turut melontarkan tenaga supaya persembahan itu lebih harmoni dan baik.
“Saya tidak suka ‘makan’ sesiapa atas pentas, apatah lagi beriya-iya mahu menang. Itu adalah sikap yang sangat tidak sihat. Takkan semua pertandingan saya mahu menang? Kita berusaha, selebihnya bergantung kepada penjurian,” katanya.