PETALING JAYA: Pelakon, Eyka Farhana terus mengunci mulut berhubung video dimuat naik di media sosial yang memperlihatkan tangan seorang lelaki, dipercayai pemain bola sepak JDT, Akhyar Rashid di bahunya.
Jelas Eyka, dia memilih untuk membiarkan sahaja warganet membuat andaian sendiri tanpa perlu mengiyakan atau menafikan tekaan mereka.
“Saya sebenarnya tidak tahu nak komen apa kerana sudah ramai yang membuat telahan sendiri di TikTok. Kalau mereka rasa individu dalam video tersebut orang itu, terpulang.
“Saya sebenarnya tidak mahu terlalu bercerita soal peribadi. Saya pun sudah banyak berdiam dan lebih baik begini supaya tiada lagi kecaman.
“Kadang-kadang netizen lebih tahu sesuatu perkara, berbanding tuan punya badan. Kalau saya cakap, sama ada benda betul atau tidak, tetap saya juga terkena tempiasnya,” katanya.
Sebelum ini, Eyka sering dikaitkan menjalin cinta dengan pemain bola sepak itu, tetapi dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengesahkan hubungan mereka.
Pelakon Budak Tebing itu bagaimanapun, berkata dia terbuka menerima teguran daripada peminat, terutama berkaitan imej seksi yang sering dipaparkan di media sosial.
Jelasnya, dia akan membalas setiap nasihat dan teguran peminat yang memberikan kata positif serta tidak terus menghukum tindakannya.
“Sudah lama saya menerima pelbagai komen, sama ada positif mahupun negatif. Macam saya cakap, saya akan ambil yang positif.
“Contohnya cara pemakaian saya, mungkin lama-lama netizen akan terima diri saya begini. Kadang-kadang saya rasa seperti tersekat untuk membuat sesuatu seperti orang lain.
“Tetapi, apabila difikirkan balik, biarlah saya menjadi diri sendiri. Dulu, memang saya terasa apabila membaca komen, tetapi sekarang saya tidak lagi baca untuk menjaga kesihatan mental,” ujarnya.