KUALA LUMPUR: Penyanyi, Cliff Umar, 40, memilih untuk mengunci mulut daripada terus memperkatakan isu dakwaan bekas isterinya yang menuduhnya mengabaikan nafkah untuk anak-anak.
Cliff atau nama sebenarnya, Umar Joseph Abdullah berkata, dia mengambil pendirian itu untuk tidak membuka aib mana-mana pihak.
“Sebelum keluarkan kenyataan tentang hal peribadi, saya akan letakkan diri diri dalam situasi pihak di sebelah sana.
“Tidakkah kenyataan balas saya hanya akan membuka aibnya? Perlu atau tidak saya melakukan perkara itu?
“Sebagai ibu, mesti dia mahu kejar sesuatu untuk anak-anaknya. Perkara itu tidak salah. Saya juga ada kesilapan, itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Kolaboraci, petang tadi.
Sebelum ini, tular video di TikTok memaparkan wanita bernama Ninie yang mendakwa dirinya sebagai bekas isteri Cliff, mendedahkan penyanyi tersebut telah mengabaikan nafkah untuk anak-anaknya.
Dalam video tersebut, wanita itu merayu kepada penyanyi terbabit supaya bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan hal ehwal perbelanjaan anak-anak.
Mengulas perkara itu, Cliff meminta semua pihak supaya berhenti memperkatakan soal peribadinya, sebaliknya memberikan lebih perhatian terhadap kerjayanya sebagai penyanyi.
“Saya sampai tahap bosan apabila cerita peribadi terus diperkatakan. Bila saya keluarkan lagu, tidak ada pula yang bertanya,” sindirnya.