Perkongsian, eksploitasi tanpa sedar? - Utusan Malaysia

Perkongsian, eksploitasi tanpa sedar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan satu dua kes akaun di media sosial di godam pihak tidak bertanggungjawab. Namun saya lihat masih ramai lagi yang suka menyimpan gambar dan video kenangan di situ atas pelbagai alasan.

Bagi yang sentiasa berwaspada, bahan dikongsi itu akan disimpan di tempat lain yang lebih selamat seperti di Google Drive dan Cloud.

Ada juga yang suka simpan di e-mel sahaja. Biarpun dianggap cara lama, tetapi bagi saya kaedah itu lebih mudah. Sebab kata laluannya mudah ditukar ganti kalau terlupa. Mana-mana carapun, ikutlah kesesuaian dan keselesaan sendiri.

Secara peribadi gambar dan kenangan indah saya hanya untuk tatapan sendiri. Lagipun diri bukannya selebriti dan tiada kepentingan berkongsi lain, melainkan atas urusan kerja semata-mata.

Saya membawakan isu ini dalam kolum kecil ini berikutan hari ini ramai dalam kalangan kita, tidak kiralah pangkat ibu bapa atau nenek dan datuk sekalipun, tanpa sedar suka membuka batasan yang seharusnya dicipta untuk anak-anak dan ahli keluarga mereka sendiri dengan berkongsi atau sharenting.

Perkongsian gambar dan video di media sosial ini, bukan tanda sayang sebaliknya terikut-ikut aliran semasa yang secara langsung meraih perhatian orang termasuk yang pihak tidak dikenali.

Untuk orang ternama, boleh juga ia digunakan untuk meraih keuntungan dengan mendapat job. Tetapi untuk orang biasa, tepuk dada tanya selera.

Kanak-kanak tidak tahu apa-apa sebab ini semua ‘kerja’ orang dewasa yang menceroboh privasi mereka. Bila disuruh buat itu dan ini, kanak-kanak hanya mengikut.

Biarpun isu ini menimbulkan konflik antara hak golongan ibu bapa untuk bersuara, lantaran mereka juga adalah penjaga kepada si cilik, tetapi perbuatan berkenaan tetap bercanggah dengan hak keselamatan dan privasi kanak-kanak.

Bahaya bukanlah nampak serta merta, tetapi membabitkan jangka panjang seperti menjadi punca gambar anak disalahguna, dicuri dan disunting atau disimpan oleh golongan pedofilia serta pelbagai lagi pemangsa dalam talian yang lain.

Negara kita ada akta perlindungan kanak-kanak tetapi seperti kelaziman, penguatkuasaanya tidak ke mana, lainlah kalau ada tanda penderaan yang jelas depan mata. Lagipun belum pernah kita dengar ibu bapa ditangkap hanya kerana berkongsi gambar. Akhirnya akta dan perundangan tinggal begitu sahaja sebagai cukup syarat.

Media sosial menghakis sifat malu dan menyerlahkan sisi kita yang berbeza. Ada yang sanggup berkongsi apa sahaja demi meraih perhatian. Yang menjadi kebimbangan hari ini ialah ia mencipta ketaksuban luar biasa termasuklah sanggup berkongsi gambar anak orang lain di media sosial tanpa kebenaran dan tanpa sekelumit pun rasa bersalah.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya