KUALA LUMPUR: Konsert 25 tahun Padi Reborn yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 3 Disember depan bakal dihangatkan dengan kemunculan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Sheila Majid.
Pemain gitarnya, Piyu pada sidang media secara atas talian, berkata, pemilihan penyanyi yang popular dengan lagu Antara Anyer Dan Jakarta itu adalah kerana populariti dan status legenda yang dipegang Sheila.
“Kami mahukan penyanyi legenda dari Malaysia dan kebetulan, kami merupakan peminat Sheila. Lagu nyanyiannya juga popular dan masih diminati di Indonesia.
“Kami pernah berkongsi pentas, termasuk menjayakan program televisyen bersama-sama. Kali ini, Sheila dan Padi akan berkolaborasi sekali lagi, membawakan lagu-lagu popular kami,” katanya.
Sementara itu, Sheila menerusi kenyataan kepada penganjur meluahkan perasaan gembira apabila diberi penghormatan untuk muncul sebagai artis undangan dalam konsert tersebut.
“Saya berbesar hati dan terharu kerana dipilih sebagai penyanyi undangan untuk meraikan ulang tahun ke-25 Padi.
“Kami tidak pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert sebelum ini, cuma pernah berkongsi pentas di Jogjakarta pada 2018 untuk acara sempena sambutan tahun baru.
“Kepada peminat, nantikan lagu yang akan kami persembahkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya selaku penganjur memaklumkan, konsert Padi Reborn akan menjadi acara yang istimewa dan signifikan buat penggemar kumpulan tersebut di negara ini.
“Istimewanya konsert Padi Reborn kali ini diadakan di Zepp KL. Untuk makluman, separuh daripada jumlah keseluruhan tiket sudah habis dijual. Kami berharap penjualan (tiket) akan terus lancar,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM199, RM169, RM339, RM269, dan RM6,000 (VIP). Pembelian boleh dilakukan menerusi laman sesawang: https://www.ticket2u.com.my.