KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid yang juga bekas ahli Raihan, Nazrey Johani berhasrat menghubungi anggota kumpulan tersebut bagi membincangkan isu yang tercetus antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Nazrey, 50, yang ditemui selepas Konsert Nasyid Legenda memaklumkan, dia mengambil inisiatif itu bagi meleraikan pertanyaan peminat yang sebelum ini membangkitkan persoalan mengapa kedua-dua pihak tidak merancang untuk kembali bekerjasama.
“Isu antara saya dan Raihan tidak pernah selesai. Pelbagai persepsi timbul, sedangkan pengunduran saya daripada kumpulan itu pada 2006 adalah untuk meneruskan kerja dakwah di Sabah.
“Saya tahu peminat keliru dan mempersoalkan kenapa sehingga ke hari ini kami tidak bekerjasama, sedangkan apabila ditanya pihak media, masing-masing memaklumkan tiada masalah.
“Saya berjanji, sekiranya pengikut TikTok dan Instagram saya mencecah 100,000, saya akan hubungi anggota Raihan. Saya mahu berjumpa mereka secara berdepan untuk membincangkan isu yang berlarutan sehingga hari ini. Biar saya merendahkan diri untuk memulakannya nanti,” katanya.
Sementara itu, Nazrey turut menyuarakan kerisauannya terhadap konsert Garis Masa Raihan yang dijadualkan pada 26 November ini berdepan masalah kerana ia berlangsung seminggu selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15.
“Memang saya simpan niat untuk hubungi mereka. Mungkin juga saya perlu terlibat dalam konsert itu. Apa yang perlu saya lakukan adalah hubungi mereka nanti,” katanya.
Nazrey, sebelum ini pernah menyuarakan kesediaan untuk kembali bekerjasama dengan kumpulan tersebut.
Raihan bagaimanapun, tidak pernah mengeluarkan kenyataan secara jelas sama ada mereka sedia melakukan perkara sama setiap kali diajukan persoalan itu.