BARU-BARU ini saya ambil kesempatan pulang ke rumah ibu mentua di Sabak Bernam, Selangor.Laluan ke situ perlu melalui kawasan kebun kelapa dan kelapa sawit.
Penduduknya yang rata-rata mengusahakan pertanian sebagai sumber pendapatan sememangnya terkenal dengan kerajinannya.
Tiada tanah kosong. Kalau bukan jagung, ubi kayu atau apa sahaja bentuk tumbuhan yang memberikan hasil akan ditanam bagi menjana pendapatan.
Tidak terkecuali ibu mentua yang turut memperoleh wang poket hasil jualan kunyit, serai dan cili yang tumbuh di sekeliling rumah.
Itupun katanya, hasil semakin berkurangan kerana ‘kerja’ monyet yang suka merosakkan tanaman. Pantang naik tunas atau bunga, pasti dirosakkan.
“Bukan tak mengadu, pihak berkiatan pun sudah tidak ambil pusing sebab monyetnya banyak. Ada perkara lain barangkali lebih mustahak perlu diselesaikan.” Itulah jawapan emak setiap kali saya bertanya mengenai usaha menangani kehadiran monyet liar sekitar kampung.
Saya kira keberanian haiwan menerjah kediaman kerana kesunyian kampung. Banyak kediaman usang dibiarkan begitu sahaja lantaran penghijrahan golongan muda ke ibu kota. Suami salah seorang daripada yang berhijrah ke Kuala Lumpur sejak 40tahun lalu.
Pun begitu penghijrahan bukanlan suatu kesalahan. Namun ia boleh dielakkan kalau kerajaan membangunkan kawasan kampung dan menyediakan peluang pekerjaan berkiatan dengan ekonomi setempat.
Penganalisis ekonomi pernah menyarankan pendidikan tinggi perlu menjurus kepada ekonomi penduduk setempat.
Contohnya pendidikan pertanian dan segala berkaitan di bangunkan di Selangor. Di Sabah dan Sawarak tumpukan pembangunan membabitkan khazanah di sebelah sana pula.
Bangunkan inovasi atau kaedah tangkapan laut yang lebih mendatangkan hasil lumayan di kawasan nelayan. Ia dapat membuka peluang pekerjaan dan pembangunan di sesuatu kawasan.
Tumpuan pada sesuatu kota hanya menyebabkan ketidakseimbangan sosiol ekonomi penduduknya.
Bukan semua orang gemar duduk di bandar tetapi di kampung tidak banyak peluang tersedia untuk menjana rezeki.
Perubahan itu terletak di tangan pemimpin. Perubahan tidak berlaku sekelip mata, tetapi kalau tidak dimulakan sekarang, bila lagi? Jemu juga kalau berebut-rebut balik ke kampung
Masa memandu yang sepatutnya sejam meningkat ke beberapa jam. Bukan saja wang, masa berharga pun berlalu hanya kerana kesesakan lalulintas dek warga kota yang mahu pulang ke kampung halaman.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.