NEW YORK: Bintang komedi terkenal, Mathew Perry memohon maaf kepada Keanu Reeves kerana membuat kenyataan mengguris hati terhadap aktor itu di dalam bukunya, Friends, Lovers and the Big Terrible Thing.
Lapor portal People, Perry, 53, menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang tidak disengajakan, malah mengakui dirinya adalah peminat pelakon filem The Matrix itu.
“Saya adalah peminatnya. Saya akui kesilapan apabila memetik namanya dalam buku terbaru tanpa sengaja.
“Saya memohon maaf. Sepatutnya nama saya yang ditulis, bukan dia,” katanya.
Perry mencuri perhatian selepas beberapa petikan dalam bukunya berkenaan Reeves tular di media sosial.
“Mendiang River Phoenix adalah pelakon budiman, luar dan dalam. Terlalu baik untuk berada di dunia ini. Nampaknya, kita sering kehilangan pelakon yang benar-benar berbakat.
“Mengapa pemikir asal seperti River Phoenix dan Heath Ledger pergi lebih awal dan Keanu Reeves pula masih wujud dalam kalangan kita?,” tulisnya dalam buku tersebut.
Dalam buku sama juga, Perry menceritakan kedukaannya setelah menerima berita kematian Phoenix yang meninggal dunia pada tahun 1993 akibat najis dadah.
“Saya masih ingat perasaan ketika bangun tidur dan menonton berita kematiannya di kaca televisyen,” tulisnya lagi.