KUALA LUMPUR : Pelakon senior, Liza Abdullah, 58, mengakui janggal apabila diminta mengenakan kebaya, namun demi tuntutan dan komitmen terhadap pementasan teater Nyonya, dia akur menyarung busana itu.
Menurut Liza, permintaan itu menimbulkan gundah di hatinya kerana sejak 30 tahun lalu, dia tidak lagi menggayakan pakaian ketat, malah lebih selesa menyarung helaian yang bersesuaian dengan dirinya sebagai wanita Muslimah.
“Segan juga, maklum pada usia begini, terdetik niat dalam hati untuk memakai pakaian yang lebih longgar. Ketika menerima tawaran, saya tidak terfikir pula mengenai kostum yang akan digayakan pada hari pementasan.
“Kalau diikutkan, memang tidak cantik kalau memakai kebaya yang tidak ikut bentuk badan. Saya berbincang dengan produksi dan selepas meminta izin, saya dibenarkan memakai inner untuk menutup kebaya yang jarang itu. Alhamdulillah, mereka boleh terima,” katanya.
Liza berkata, pembabitannya dalam teater itu juga membuka ruang kepada peminat untuk melihat sisi berbeza dirinya sebagai pelakon.
“Selama ini, penonton sudah terbiasa melihat saya tampil dengan imej jubah atau baju longgar dalam produksi televisyen. Anak saya sendiri terkejut bila tengok saya pakai kebaya.
“Bukan tidak pernah pakai, tetapi itu dulu ketika muda. Apabila sudah tua, saya tidak mahu begitu lagi. Bukan sebab takut orang mengata, malah saya tidak kisah sangat apa orang cakap. Dalam bekerja, saya khuatir tidak mampu membawa watak dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Liza berkata, sukar untuk dia menghilangkan perasaan gementar memandangkan sudah lama tidak beraksi di pentas. Akuinya, teater itu memberikan cabaran besar buat dirinya sebagai pelakon.
“Memang saya teringin sangat untuk menjayakan teater ini. Sebelum terima, saya berterus-terang dengan produksi jika mempunyai komitmen lain kerana saya tidak suka mencampuradukkan kerja.
“Kalau boleh, saya mahu fokus pada satu projek pada satu masa. Sangkakan pementasan ini tidak jadi, maka saya menerima tawaran lain. Apabila sudah berjanji, kita kena teruskan juga komitmen. Mahu atau tidak, saya terpaksa berlatih sendiri sebagai persediaan menjayakan teater itu kelak,” katanya.
Pementasan teater Nyonya akan berlangsung pada 15 dan 16 Oktober ini di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Teater terbitan Siti Rohayah Atan dan arahan Dr Rosminah Tahir ini turut membariskan pelakon nama besar seperti, Eyzendy Aziz, Vanidah Imran, Datuk Ziela Jalil, Deera Amin dan Zera Hariz.
Tiket pementasan teater karya asal Allahyarham Prof. Wisran Hadi ini dijual pada harga RM30 dan RM50 serta dinaungi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahniza Shamsuddin.