Kurang latihan, persediaan punca lawak sekarang hambar - Sathia - Utusan Malaysia

Kurang latihan, persediaan punca lawak sekarang hambar – Sathia

SATHIA bersyukur masih diberi kekuatan untuk mencari rezeki dalam bidang seni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang latihan dan persediaan sebelum beraksi menjadi antara faktor penyumbang persembahan kebanyakan pelawak muda hambar serta gagal melekat dalam ingatan penonton.

Pelawak legenda, Sathia, 60, berkata, kebanyakan pelawak sekarang tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persiapan, lantas menjejaskan kualiti persembahan, meskipun mereka berbakat besar.

Situasi itu katanya berbeza ketika dia menjayakan sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang begitu popular pada dekad 1980-an dan 1990-an. Ini kerana setiap pelakon akan menjalani latihan demi latihan sebelum rakaman sesebuah episod dijalankan.

“Zaman berlakon sitkom dulu, kami akan berlatih sekurang-kurangnya 12 kali sebelum penggambaran dibuat. Latihan berterusan itu membuatkan kami sebati dengan karakter dan peranan masing-masing.

“Kami tahu bila dan bagaimana untuk menambah perisa bagi menguatkan lagi persembahan lawak. Ia sangat berbeza sekarang. Mungkin mereka kurang masa untuk latihan.

“Itu yang membuatkan kadang-kadang lawak mereka hambar dan kurang membekas dalam ingatan penonton,” katanya.

Hampir empat dekad dalam industri hiburan, pemilik nama lengkap P. Sathivel itu bertuah kerana masih diingati, biarpun banyak pelawak baharu hadir mempertaruhkan bakat.

Sathia berkata, meskipun tawaran tidak sehebat dulu, dia masih mendapat permintaan untuk menjayakan drama dan sitkom.

“Saya bersyukur masih ada pendapatan. Tidak kaya dan tidak juga miskin, tetapi ada sahaja tawaran yang datang.

“Naik turun (jumlah pendapatan) itu biasa. Cukup makan sudah buat saya happy. Pada usia sekarang, saya bersyukur kerana masih mampu bekerja.

“Saya berharap akan terus diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan kerjaya. Selagi masih kuat dan boleh bekerja, saya tidak menolak jika ada tawaran yang sesuai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya