PETALING JAYA: Penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti menzahirkan kesedihannya terhadap insiden tragis rusuhan di perlawanan bola sepak di Malang, Jawa Timur yang meragut lebih 127 nyawa.
Krisdayanti, 47, dalam satu hantaran di Instagram berkata, dia turut berduka cita atas kejadian yang menimpa peminat bola sepak Indonesia dan mendoakan mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Innalillahiwainnailihirajiun. Dari lubuk hati yang paling dalam, saya turut berduka cita sedalam-dalamnya atas kejadian yang menimpa pecinta sepak bola tanah air di Stadium Kanjuruhan, Malang.
“Semoga 127 korban jiwa yang meninggal mendapatkan tempat terbaik di sisi Allah SWT serta keluarga ditinggalkan diberi ketabahan,” tulisnya.
Terdahulu, Ketua polis Indonesia di wilayah Jawa Timur, Nico Afinta memaklumkan, seramai 127 orang terkorban dan 180 lagi cedera dalam insiden membabitkan perlawanan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Dalam insiden itu, penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika kekecohan apabila penyokong Arema dan Persebaya bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan berkenaan.
Sebelum itu, penyokong Arema masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata. Ia mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlaku kes sesak nafas.
Nico Afinta berkata, lebih kurang 3,000 daripada 40,000 penyokong yang hadir cuba memasuki kawasan padang.