PETALING JAYA: Konsert Rossa: 25 Shining Years yang dijadualkan berlangsung pada 2 November ini akan tetap diteruskan, walaupun beberapa persembahan berskala besar telah dibatalkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penganjur konsert yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Aizuddin Mohd Ghazali berkata, setakat ini tiada perancangan untuk menangguhkan atau membatalkan konsert yang bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.
“Setakat ini, konsert tetap berlangsung mengikut jadual. Rossa juga sudah tidak sabar dan giat berlatih untuk konsert yang ditunggu-tunggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Dalam pada itu, Aizuddin turut berkongsi berita gembira apabila tiket konsert yang bakal menampilkan Hael Hussaini itu sudah hampir habis dijual.
“Masih berbaki 10 peratus tiket untuk direbut. Peminat Rossa yang masih belum mendapatkan tiket, boleh segara membelinya.
“Sudah hampir tiga tahun Rossa tidak beraksi di sini, pastinya konsert ini akan memberi kepuasan yang berbeza,” katanya.