PETALING JAYA: Kumpulan duo Indonesia, Kasyara yang baru melancarkan single rakaman semula, Gerimis Mengundang, berharap peminat tidak membanding-bandingkan cara nyanyian mereka dengan penyanyi asal, Zamani Slam.
Jelas Kasyara, menjadi kebanggaan apabila mereka diberi penghormatan untuk merakamkan semula lagu tersebut bagi dimuatkan dalam album pertama, Di Antara dan Lainnya.
“Kami diberi tiga pilihan antaranya lagu Slam, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid. Kami akhirnya memilih Gerimis Mengundang kerana lagu itu begitu dekat dengan kami, terutama melodi dan liriknya.
“Kami berharap sangat tidak terpalit dengan situasi dibandingkan dengan penyanyi asal seperti yang berlaku kepada penyanyi lain.
“Besar juga harapan kami peminat Malaysia dan Indonesia dapat menikmati susunan muzik baru Gerimis Mengundang nyanyian Kasyara,” katanya.
Kasyara yang dianggotai Kensen (vokalis) dan Faizal (keyboard) pernah tular apabila wajah vokalisnya dikatakan mirip penyanyi utama kumpulan Noah, Ariel.
“Soal wajah dan suara yang dikatakan sama itu, saya tidak boleh ubah. Itu sudah dikurniakan Tuhan. Tetapi, saya harus mencipta perbezaan dan tidak terus larut dalam pujian.
“Saya percaya dengan bakat dan pengalaman Faizal. Saya banyak belajar daripadanya. Dia komposer yang hebat dan memberi peluang untuk saya mengubah hidup,” kata Kensen.