KUALA LUMPUR : Pelakon Beto Kusyairy tekad merahsiakan dia melakukan sendiri aksi membakar diri dalam supertelefilem, Halimun daripada pengetahuan isterinya, Tisha Shahar kerana tidak mahu insan disayanginya bimbang.
Beto, 42, berkata biarpun pihak produksi menyediakan pelakon lagak ngeri di lokasi penggambaran, dia bertekad melakukannya sendiri kerana mahu memenuhi keinginan yang tersimpan sejak sekian lama.
“Saya tidak beritahu isteri dari awal kerana tidak mahu dia bimbang. Dia hanya tahu mengenainya apabila pelakon, Nabila Huda berkongsikan video babak tersebut di Instagram.
“Cemas juga sebab takut dia tertengok video itu. Jadi, saya terus hubungi isteri dan berterus terang. Maklum, ketika babak itu dilakukan, saya dan isteri sedang berjauhan. Jika saya beritahu, bimbang nanti saya pula tidak dapat fokus di lokasi penggambaran.
“Jadi, saya buat keputusan untuk rahsiakan perkara itu dan hanya berterus terang selepas semuanya selesai,” katanya ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana Halimun, di sini, kelmarin.
Beto berkata, pihak produksi pada mulanya keberatan membenarkan dia melakonkan babak itu kerana enggan mengambil risiko yang boleh mengancam nyawanya.
“Pasukan pelakon lagak ngeri tiada masalah untuk saya melakonkan babak tersebut kerana yakin dengan kebolehan saya. Cuma, mereka mahu saya mendapatkan keizinan pihak produksi terlebih dahulu.
“Penerbit pada mulanya risau dan menasihatkan saya supaya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pasukan lagak ngeri. Saya memujuk dan meminta mereka percaya kemampuan saya.
“Hanya selepas pasukan produksi memastikan semua aspek keselamatan dijaga rapi, baru mereka membenarkan saya melakukan aksi tersebut,” katanya.
Jelas Beto, dia sudah lama menyimpan impian untuk melakonkan sendiri aksi lagak ngeri.
“Saya sudah banyak kali bekerja dengan pasukan lagak ngeri, malah tahu tahap keselamatan ketika di lokasi penggambaran. Itu yang membuatkan saya berani melakonkan sendiri babak tersebut.
“Dari segi kepuasan, saya lebih seronok kerana sebelum ini, pernah berpengalaman menjadi pelakon lagak ngeri. Aksi ‘human torch’ ini antara impian saya. Lagipun, babak itu tidak lama, sekitar 30 saat,” katanya.
Ditanya apakah dia berdepan kecederaan ketika melakukan aksi berbahaya tersebut, Beto berkata, dia hanya berdepan luka ringan di bibir.
“Saya ada menyapu fire gel sebelum penggambaran babak itu bermula. Namun, saya terkemam bibir ketika melakukan aksi tersebut, menyebabkan ia melecur sedikit. Saya anggap ia hanya kecederaan ringan dan tidak membahayakan,” katanya.
Halimun terbitan Azura Pictures mengisahkan tentang dugaan misteri yang dihadapi Zahir (Beto) dan Laila (Nabila Huda) setelah empat bulan mendirikan rumah tangga.
Supertelefilem yang dihasilkan dengan kerjasama dan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan ditayangkan di platform Astro First mulai 5 November ini