PETALING JAYA: Penyanyi, Wany Hasrita belum terfikir untuk meninggalkan dunia seni suara walaupun terpaksa berulang-alik ke Kuching, Sarawak untuk bertemu suaminya, Mohd Al Adib Fahmi.
Wany berkata, dia sedang menyesuaikan diri dengan hubungan jarak jauh dan tidak menolak kemungkinan akan bermaustatin di Kuching nanti.
“Saya masih menyesuaikan diri. Dulu, ingat senang hubungan jarak jauh. Bila sudah jadi suami isteri, baru tahu sukarnya menahan rindu. Tetapi, insya-Allah, saya dan suami okay sahaja. Saling belajar.
“Kelakarnya, saya tidak pernah sebak bila menyanyikan lagu Menahan Rindu. Tetapi, apabila kali pertama menyanyikan lagu itu selepas nikah, terus sebak. Berbeza betul sebelum dan selepas nikah.
“Sekarang, dialah ‘rumah’ saya. Bila ada kelapangan masa, saya akan turun ke Kuching atau dia yang akan ke Kuala Lumpur. Kami kena pandai susun masa dan apabila dapat bertemu, saya memang tidak sentuh telefon langsung,” katanya.
Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga, Wany bersyukur kerana masih laris menerima tawaran persembahan. Terbaru, dia bakal menjayakan Konsert Canggung bersama Datuk Jamal Abdillah yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Berkongsi keterujaan tentang konsert itu, Wany berkata, dia belum pernah menjayakan persembahan di Perlis dan tidak sabar berkongsi pentas dengan Jamal serta penyanyi lain seperti Khai Bahar, Amir Masdi dan Amelina.
“Gementar juga sebab ini kali pertama ke Perlis. Belum pernah saya ke sana seumur hidup. Tetapi, saya yakin dengan penganjur, Zeel Production, selain pernah bekerjasama dengan Datuk Jamal. Jadi, kurang sedikit perasaan gementar itu.
“Melihatkan barisan penyanyi yang ada, saya sendiri teruja. Masing-masing memiliki kelebihan tersendiri. Memang akan ada banyak warna muzik pada malam konsert itu nanti,” ujarnya.