KUALA LUMPUR : Pelakon, Lana Nodin, 42, mengakui belum masanya untuk tampil menjelaskan atau mengulas mengenai isu dia dikatakan menjalani pembedahan hidung di Korea Selatan, baru-baru ini.
Menurut Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 42, dia hanya akan berbuat demikian setelah pulang ke tanah air pada bulan hadapan.
“Tunggu saya balik, nanti akan dijelaskan. Sekarang nak recover (pulih) betul-betul. Saya nak berehat. Saya akan balik bulan depan,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Lana sebelum ini, didakwa secara terbuka mengakui baru selesai menjalani prosedur pembedahan plastik bagi mencantikkan hidung di negara tersebut.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, malam tadi, Lana berkongsi keadaan wajahnya yang masih berbalut selepas beberapa hari menjalani pembedahan plastik.
“Ini hari kelima selepas melakukan pembedahan. Tiada bengkak dan lebam pada wajah saya. Paling menakjubkan, saya langsung tidak berasa sakit.
“Saya sudah boleh keluar berjalan-jalan. Jahitan pada hidung akan dibuka dalam masa tujuh hari lagi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi, malah ada peminat memuji keterbukaan Lana yang jujur dan tidak menipu melakukan rawatan kecantikan.
Video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya itu, bagaimanapun dipadam selepas beberapa minit dikongsi.
Namun, pendedahan itu sempat dikongsi semula menerusi sebuah saluran YouTube.