KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel , 28, menyifatkan single terbaharunya, Bahagia Milik Kita sebagai karya yang sangat istimewa kerana ia didedikasikan buat isteri, Ernie Zakri dan cahaya mata mereka, Nur Khawla Soleha yang kini berusia 7 bulan.
Menurut Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, dia sudah lama menyimpan impian untuk merakamkan sebuah lagu istimewa sebagai tanda ingatan buat Ernie dan anaknya.
“Sudah lama saya ingin menghasilkan lagu buat Ernie dan Khawla. Saya mahu ceritakan betapa bahagianya saya sejak mereka berdua hadir dalam hidup.
“Saya bahagia dipertemukan dengan Ernie sebagai pasangan dan peneman setia, manakala Khawla pula zuriat yang melengkapkan hidup kami berdua.
“Sebelum ini, saya sering tampil dengan lagu sedih dan melankolik. Untuk kali ini, saya hadirkan karya yang berbeza kerana lagu ini berkisar mengenai perasaan cinta, bahagia dan kasih sayang,” katanya.
Berkongsi kehidupannya sebagai bapa, Syamel berkata, dia bersyukur kehadiran Khawla secara tidak langsung mengajarnya berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Tidak mudah menjadi suami dan bapa. Saya banyak belajar tentang erti tanggungjawab yang sebenar.
“Tiada sehari pun saya tidak mengucapkan perkataan syukur kepada Ilahi kerana dikurniakan anak. Sebagai bapa, tentu sahaja tanggungjawab saya bertambah.
“Namun perubahan paling ketara dalam diri saya dan Ernie, kami akan mengutamakan Khawla dalam apa juga perancangan yang dilakukan. Tetapi, tidak mengapa kerana saya senang dapat membahagiakan isteri dan anak,” katanya.
Berkongsi proses rakaman single tersebut, Syamel berkata, dia mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyiapkan lagu yang dihasilkan bersama penyanyi dan komposer, Yuka Karisma. Lagu itu diterbitkan Rocketfuel Entertainment.
“Lagu terbaharu ini, termasuk beberapa sentuhan lain bakal dimuatkan dalam album sulung saya nanti dan dicipta ketika Ernie masih lagi dalam tempoh berpantang. Ketika itu, saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan kebanyakan demo dihasilkan dalam perjalanan.
“Saya bertemu dengan Yuka bagi mencantikkan lagi susunan lagu Bahagia Milik Kita. Insya-Allah, jika tiada aral, album sulung saya akan menemui peminat tahun depan,” katanya yang sebelum ini menghadiahkan lagu raya, Erti Lebaran ketika sambutan Aidilfitri lalu.
Syamel mendirikan rumah tangga dengan Ernie pada 22 Mac 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Khawla yang dilahirkan pada 22 Februari lalu.