PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FInas) mengambil tindakan tegas terhadap penerbit, Datuk A. Aida susulan kenyataannya yang disifatkan boleh merosakkan reputasi industri seni.
Adam berkata, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas, A. Aida tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana paras rupa bukan faktor penentu kejayaan sesebuah karya.
“Saya pasti ramai penggiat seni bersetuju kenyataan itu tidak bijak dan boleh merosakkan industri seni, apatah lagi dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah Finas. Kami berpendapat Finas perlu mengambil tindakan tegas terhadap penerbit tersebut
“Kenyataan A Aida jelas menunjukkan dia tidak layak berada di Finas, apatah lagi menggalas tanggungjawab Ahli Lembaga Pengarah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penerbit sensasi itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan rupa paras adalah elemen penting untuk menjadi pelakon dan tidak kisah sekiranya pendapatnya itu dikecam.
Jelas A. Aida, sebagai penerbit, dia mempunyai hak untuk bersuara secara peribadi walaupun kenyataan itu mungkin menyinggung mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pendiriannya.
Adam berkata ,Awesome TV sentiasa memberi peluang sama rata kepada semua penggiat seni untuk memainkan peranan, baik di depan atau di belakang kamera merentasi setiap peringkat umur.
“Dari hari pertama kami bersiaran pada Ogos 2020, kami tidak mengamalkan diskriminasi dalam menentukan pembabitan mana-mana anak seni dalam program terbitan kami.
“Bakat sentiasa dijadikan faktor nombor satu yang kami tekankan. Kami juga sentiasa menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelakon, bermula sesi pemilihan barisan utama sesebuah produksi.
“Sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai. Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita dan pengarahan yang baik adalah formula tepat untuk menarik tontonan masyarakat,” ujarnya.