Apex Tajudin jual nasi lemak, baju bundle demi kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Apex Tajudin jual nasi lemak, baju bundle demi kelangsungan hidup

APEX Tajudin kini muncul mempertaruhkan Jannah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara program realiti, Mentor Millenia 2019, Apex Tajudin melalui perjalanan yang sukar, termasuk pernah menjual nasi lemak dan baju terpakai demi kelangsungan hidup.

Katanya, pengalaman berniaga ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat mencabar, sedangkan dia baru selesai mengikuti program realiti televisyen tersebut.

“Rezeki itu tetap ada dan kita perlu berusaha. Setiap hari, saya akan gunakan platform media sosial seperti TikTok untuk mempromosikan diri dan perniagaan. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

Mempunyai lebih 350,000 pengikut di TikTok, Apex mengakui, sering memuat naik video nyanyian dan pelbagai  kandungan lain untuk terus mendekati khalayak.

Selain menjadi medan berinteraksi dengan peminat, saluran itu juga membuka jalan kepadanya untuk mempromosikan karya dan mencari peluang rezeki dalam bidang nyanyian.

“Sebaik sahaja memenangi pertandingan tersebut, saya pernah keluar dengan lagu Panggung. Saya hanya sempat melakukan beberapa promosi dan selepas itu, negara berdepan dengan PKP.

“Semua perancangan ketika itu tergendala dan saya terpaksa melakukan pelbagai usaha untuk mempromosikan diri. Saya banyak gunakan media sosial untuk mengembangkan kerjaya seni,” ujarnya.

Penyanyi berusia 26 tahun itu bagaimanapun, bersyukur apabila percubaan terbarunya menerusi single, Jannah menerima maklum balas yang baik daripada peminat.

Lagu ciptaan Ajai dan lirik hasil nukilan Strawbericha itu dilancarkan secara rasmi pada 30 September lalu di semua platform digital.

“Jannah merupakan lagu ketiga saya selepas Panggung dan Pergi Jauh. Dua lagu sebelum ini dikeluarkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan berdepan pelbagai kekangan untuk mempromosikannya.

“Sudah pasti, saya mengharapkan Jannah akan membawa nama Apex Tajudin ke peringkat lebih tinggi atau setidak-tidaknya lebih dikenali peminat baharu,” katanya yang kini menetap di Kedah.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai, dia gembira dapat menyanyikan karya daripada komposer prolifik yang sudah berjaya membawa banyak nama besar menempa kejayaan.

Lagu yang disifatkan cukup ‘manis’ itu juga sesuai dijadikan lagu untuk tema perkahwinan dan pastinya dia berharap Jannah turut membawa tuah kepadanya.

“Tiada apa yang saya harapkan selain mahu melihat Jannah diterima baik peminat. Terima kasih buat semua yang sentiasa menyokong kerjaya saya sejak awal lagi,” tambahnya.

Jannah merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music. Video muzik lagu itu boleh ditonton di platform YouTube Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya