KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa bersengkang mata sehingga jam 5 pagi untuk menyiapkan video muzik (MV), Gelek Jambu, kumpulan The Gadys tidak merungut, bahkan kekal aktif dan bertenaga menyempurnakan tanggungjawab itu.
Menurut Ayunie Rizal, dia bersama tiga anggota kumpulannya yang lain iaitu Nelissa, Aznie dan Faa tetap bersemangat untuk memastikan mereka mampu memberikan yang terbaik.
“Proses rakaman MV itu berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Mungkin kerana suasananya yang begitu positif, kami tidak rasa penat, biarpun terpaksa berada di lokasi penggambaran sehari suntuk.
“Disebabkan terlalu teruja, kami tidak terasa jam sudah menunjukkan pukul lima pagi. Kami masih bertenaga meneruskan penggambaran .
“Pihak produksi juga memberikan aura dan semangat yang baik, Kami sukakan semua aspek, terutama set, feel dan look yang diterjemahkan dalam MV ini,” katanya.
Sementara itu, Nelissa pula berkata, sebagai artis baharu, mereka turut berdepan cabaran, terutama dari segi masa memandangkan kumpulan itu turut terbabit dalam bidang lakonan.
“Cabaran paling utama The Gadys adalah masa kerana kami juga terbabit dalam bidang lakonan. Biarpun jadual penggambaran sangat padat, kami dapat juga menyiapkan MV ini.
“Ada di antara kami yang tidak sempat tidur. Selesai saja penggambaran, kami bergegas pula ke lokasi penggambaran drama. Ada yang terpaksa mandi di set penggambaran kerana perlu bergegas ke tempat lain.
“Itu belum lagi latihan menari sehingga pukul 2 pagi. Alhamdulillah, semua itu dapat kami tempuhi dengan baik, malah semangat kerja berpasukan kami semakin kuat untuk memastikan semua yang dirancang berjalan lancar,” katanya.
The Gadys berharap, kemunculan single terbaru ini akan diterima ramai. Gelek Jambu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys bermula 9 September lalu.
Artis berkumpulan wanita baharu yang bernaung di bawah Universal Music Malaysia dan Valient Music ini mula diperkenalkan menerusi single, Gadys Raya. Sehingga kini, mereka telah meraih 200,000 pengikut dan mendapat lebih 2.8 juta tanda suka di TikTok.