Teguran ‘Santai’ Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Teguran ‘Santai’ Faizal Tahir

FAIZAL semakin selesa menghasilkan lagu yang membawa mesej dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir mengakui, semakin selesa menghasilkan lagu yang membawa mesej dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial.

Bagi Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 44,  itu adalah cara terbaik untuk memberi kesedaran dan nasihat, tidak hanya pada diri sendiri tetapi juga orang ramai.

“Kita lebih mudah memahami dan menghadam perkara yang lebih dekat dengan diri. Setiap nasihat atau teguran dalam karya saya adalah untuk diri sendiri terlebih dahulu. 

“Saya harus memahami dan mampu menghadam mesej daripada karya saya terlebih dahulu. Itu paling penting. Sekiranya pendengar mendapat manfaat daripada menghayati karya saya, ia bonus buat diri ini,” katanya.

Andai sebelum ini, Faizal tampil dengan Ragaman yang sarat dengan ‘teguran’ dalam kehidupan berumah tangga, terbaru dia ‘bersuara’ menerusi Santai yang turut menyelitkan nasihat dan mesej berguna kepada masyarakat.

Dihasilkan bersama Ezra Kong dan diterbitkan Faithful Music, Faizal berkata, idea menghasilkan lagu itu hadir secara spontan apabila rakannya itu menyebut perkataan santai dalam satu sesi menulis lagu. 

“Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhannya adalah berdasarkan sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam membuat atau mendapatkan sesuatu. Malah, sikap tergesa-gesa manusia ini sudah disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran,” katanya.

Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi lagu berkenaan, malah mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat. 

“Kelebihan lagu Santai adalah dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam berbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Santai, Faizal yang kembali bekerjasama dengan Ezra kali terakhir melalui lagu Malaysia (2018) & Kamu (2019) berkata, ia adalah peluang yang sudah lama ditunggu-tunggunya, memandangkan masing-masing sebelum ini sibuk dengan komitmen kerja. 

“Ezra tahu apa yang dia mahu dan apa yang perlu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyanyi. Memang saya cari peluang untuk bekerja dengan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, kata Faizal, Santai yang siap dirakam pada Mei lalu bukan kesinambungan lagu Ragaman, meskipun membawa  lirik berunsurkan nasihat.

“Mesej Ragaman lebih ‘direct’ dan ‘straightforward’ mengenai ragam kehidupan suami isteri. Lirik lagu Santai pula lebih berkias dan boleh digunapakai dalam apa sahaja situasi kehidupan harian,” katanya.

Sementara itu, Ezra yang turut bertindak selaku penerbit berkata, ia karya yang cukup dekat dalam kehidupan seharian.

Malah, Ezra melihat mesej yang cuba disampaikan dalam lagu itu perlu dijadikan iktibar, sekali gus mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Lumrah kehidupan masa kini membuatkan kita menjadi semakin serakah dan terdesak untuk memperoleh kekayaan dunia dalam waktu singkat. 

“Dalam lagu ini, Faizal menyeru agar kita selalu santai dan tidak bertindak secara terburu-buru. Kuda yang tua memanglah tidak laju seperti dulu, namun tetap ‘steady’ dan padu,” katanya.

Lagu ini boleh didengari di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox, manakala muzik video rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya