Tayang badan bukan untuk suka-suka - Ikhram Juhari - Utusan Malaysia

Tayang badan bukan untuk suka-suka – Ikhram Juhari

IKHRAM membawa watak Lans Koperal Wahid dalam filem Malbaat Misi Bakara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Ikhram Juhari, 30, mengakui terpaksa ‘melanggar’ prinsip diri apabila bersedia melakonkan babak menayang badan dalam filem aksi ketenteraan, Malbatt Misi Bakara.

Menurut Ikhram, keputusan tersebut dibuat untuk memenuhi keperluan skrip dan dilakukan atas dasar profesional.

“Memang saya ada keluarkan kenyataan tidak mahu tayang badan, tetapi ada yang menganggap saya sudah melanggar prinsip apabila melakonkan babak itu.

“Terus-terang, saya berfikir banyak kali sebelum memutuskan untuk tayang badan. Namun, saya hanya buat untuk filem, bukan drama.

“Saya buat atas tuntutan kerja, bukan suka-suka. Setakat ini, peminat memahami dan sekiranya nanti ada yang mengecam, saya sudah bersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ikhram berkata, untuk menghidupkan watak Lans Koperal Wahid dalam filem itu, dia sanggup menjalani latihan selama dua bulan, selain mengamalkan diet ketat untuk kelihatan seperti tentera sebenar.

“Rutin saya sebelum penggambaran bermula adalah bersenam di gimnasium, bersauna dan berjemur bagi mendapatkan kulit gelap.

“Saya berhabis sekitar RM200 sehari untuk amalan pemakanan berkhasiat. Saya mengambil protein dengan memakan enam biji telur masak ketika sarapan dan ikan tilapia rebus untuk hidangan tengah hari, selain buah-buahan.

“Saya tidak boleh mengambil karbohidrat kerana ia akan menyebabkan perut buncit. Saya amat menjaga pemakanan sebelum dan ketika penggambaran,” katanya.

Filem aksi tersebut turut dibintangi Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.

Malbatt Misi Bakara yang diangkat daripada kisah benar perang saudara di Somalia pada tahun 1993 itu menjadi filem tempatan termahal apabila menelan kos RM20 juta. Karya arahan Adrian Teh itu dijangka menemui penonton sekitar Ogos tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya