PETALING JAYA: “Saya minta maaf atas kontroversi yang berlaku di Jakarta, Indonesia.”
Itu kenyataan pelakon yang sedang meningkat populariti, Meerqeen berhubung insiden mencium dahi pelakon dan pelawak terkenal Indonesia, Kiky Saputri ketika menghadiri sebuah program hiburan di sana, bulan lalu.
Meerqeen berkata, insiden yang tular dan mendapat kecaman ramai itu membuatkan dia lebih berhati-hati, terutama dalam perkara melibatkan sensitiviti dan agama.
“Sebenarnya, pihak pengurusan menunggu masa yang sesuai untuk memberi kenyataan berhubung kontroversi ini.
“Apa yang boleh dikatakan, saya sedar, kita di Malaysia. Jadi, semestinya selepas ini, saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Meerqeen menjawab pertanyaan media ketika sesi wawancara maya bersama barisan pelakon dan pengarah drama Ash & Aish, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Meerqeen berkata, kontroversi itu tidak menganggu fokusnya kerana dia masih mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya, selain keluarga.
“Saya tahu apa yang saya mahu dan sasarkan untuk dicapai. Jadi, isu tersebut tidak mengganggu fokus saya,” katanya.