Saya kehilangan sahabat baik - Sabri Yunus - Utusan Malaysia

Saya kehilangan sahabat baik – Sabri Yunus

ANGELINE Tan (kiri), Sabri Yunus (dua dari kiri) merakam gambar kenangan bersama Allahyarham Bob Lokman dan isteri, Relawati Daud (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sabri Yunus menyifatkan pemergian Bob Lokman sebagai kehilangan besar kepada industri hiburan tempatan.

Kata pelakon drama Pok Ya Cong Codei itu, sumbangan Allahyarham terhadap industri hiburan terlalu besar, baik dalam bidang muzik, drama dan filem.

“Saya kehilangan seorang sahabat baik. Banyak sumbangannya kepada industri.

“Terlalu banyak kebaikan dalam diri arwah. Meskipun lama menghilang dari dunia seni, dia tetap ada untuk kawan-kawan satu industri,” katanya.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan, akibat komplikasi jantung pukul 3 petang tadi.

Bob sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, berikutan bahagian atas jantungnya gagal berfungsi dengan baik.

April lalu, Allahyarham menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan setelah kesihatannya merosot akibat masalah buah pinggang.

Allahyarham aktif sebagai penulis lirik bermula 1987 hingga 1996 dan antara lirik yang dihasilkannya termasuk Isabella nyanyian kumpulan Search, Taman Rashidah Utama (Wings), Kerana Cinta (Exists) dan Rendang Tak Berbuah (Hattan).

Bob juga pernah mencipta nama dalam bidang lakonan dengan membintangi tujuh filem antaranya Ye, Tuan!, Iskandar, Jin Notti dan Santau.

Sabri memaklumkan, dia kali terakhir bertemu arwah pada musim Aidilfitri lalu.

“Saya ada melawat arwah di kampungnya di Kubang Kerian. Arwah sebelum ini pernah berkali-kali menyebut, mungkin hayatnya tidak lama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya