PETALING JAYA: Penyanyi, Liza Hanim tidak mahu melayan sebarang provokasi yang sengaja dicipta segelintir netizen, terutama apabila ada yang sengaja membandingkan cara nyanyiannya dengan artis lain.
Jelas Liza, dia pernah berhadapan dengan kecaman yang lebih teruk sepanjang 25 tahun dalam dunia seni dan ketika ini, dia lebih senang melihat sesuatu perkara dari sisi positif.
“Kita sekarang sudah sampai ke peringkat, apa orang nak cakap, cakaplah. Saya pernah kena lebih teruk, jadi tidak ada hal. Saya okey saja kerana ada yang masih gembira melihat persembahan itu. Mulut orang kita tak boleh ‘control’.
“Bagi saya, apabila orang bercakap mengenainya, itu menunjukkan persembahan kita mendapat perhatian. Itu sudah cukup. Sekarang, saya sudah sampai tahap hanya melihat ke arah positif. Tidak larat lagi nak fikir benda yang negatif,” katanya.
Liza berkata demikian ketika mengulas cubaan segelintir netizen yang mewujudkan perbandingan persembahan duetnya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada kemucak Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM 23), baru-baru ini.
Liza berkata, dia sentiasa mengamalkan sikap tenang dan santai dalam menghadapi apa juga kritikan serta kecaman yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan seseorang.
“Saya memang malas nak melayan semua ini. Apa yang saya tahu, hanya jauhari yang mengenal manikam. Saya mahu tenang-tenang saja.
“Nasihat saya kepada bakat baharu yang berdepan pelbagai komen netizen, jangan hiraukan sangat. Fokus memperbaiki diri sendiri untuk jadi yang lebih baik pada masa akan datang.
“Mungkin ia akan ambil masa lama sedikit, tetapi percayalah akan tiba waktu itu,” katanya.