SHAH ALAM : Penyanyi rap dan komposer muda, Yonnyboii tidak menyangka, album Deluxe Version yang pernah dianggapnya ‘sampah’ akhirnya membawa pulangan berbaloi apabila diangkat sebagai Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 (AIM 23), malam tadi.
Yonnyboii berkata, dia tidak memberikan sepenuh fokus ketika menghasilkan album tersebut kerana lebih mengutamakan lagu baharu.
“Pada awalnya, saya buat album tersebut untuk suka-suka. Lagu yang dimuatkan dalam album itu saya pernah kategorikan sebagai ‘sampah’ dan diketepikan dahulu kerana mahu memberi fokus pada single terbaru.
“Apabila pihak pengurusan meminta saya siapkan album itu, baru saya teruskan kerja yang tertangguh. Tempoh untuk lengkapkan album tersebut lebih kurang dua bulan.
“Sangat sekejap dan ini album terpantas yang pernah saya buat. Saya tidak meletakkan sasaran untuk album ini kerana dalam fikiran, saya dan rakan-rakan buat ‘main-main’, ikut apa yang kami mahu. Saya memang sama sekali tidak menyangka dengan kemenangan ini,” katanya.
Kemenangan itu melayakkan Yonnyboii menerima insentif Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM200,00 yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (K-KOMM) dan trofi.
Tambah penyanyi lagu Salahku itu, kemenangan tersebut juga bakal menjadi titik fokus untuk dia bekerja lebih keras dan terus menghasilkan karya seni yang berkualiti.
“Setiap karyawan layak untuk mengetengahkan hasil seni mereka kerana tiada yang mustahil. Semua boleh mencipta ‘sesuatu’ dan mempunyai keunikan tersendiri.
“Kerja muzik adalah tugasan yang diamanahkan untuk saya. Walaupun harus serius, muzik juga tempat untuk bergembira.
“Kalau kerja tanpa rasa seronok, itu akan membuat saya tertekan. Tanggungjawab saya selepas ini adalah untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik dan kemenangan ini membuktikan, setiap usaha pasti akan peroleh kejayaan,” katanya.
Pada acara kemuncak yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menyaksikan lagu Goodbye Hello nyanyian Syamel dan Ernie Zakri dinobatkan sebagai pemenang Lagu Terbaik, sekali gus menerima insentif DKD berjumlah RM50,000.
Dua lagi kategori yang turut menerima insentif DKD adalah Artis Baharu Terbaik yang dimenangi Vaneesa Reynauld, selain Video Muzik Terbaik menerusi lagu Gatal nyanyian Janna Nick. Masing-masing membawa pulang dana bernilai RM50,000 dan RM20,000.