KUALA LUMPUR: Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris terpaksa menunda Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dari 21 hingga 23 Oktober depan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pengurus Projek Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd, Nor Aniza Idris berkata, konsert itu terpaksa ditunda disebabkan pilihan raya umum yang bakal berlangsung, selain ketiadaan pengarah muzik.
“Produksi ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan dalam persediaan program Konsert Malai Solo. Antaranya, pilihan raya umum kemungkinan besar akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
“Jadi, perkara itu menyukarkan penyusunan atur cara konsert dari aspek jemputan tetamu, termasuk menteri dan wakil kementerian yang menjadi salah satu tonggak kepada penganjuran konsert.
“Ketiadaan pengarah muzik, Datuk Ramli MS yang terbabit dalam penjurian program televisyen, Gegar Vanganza (GV) ke-9 juga menjadi faktor utama. Difahamkan, Astro tidak membenarkan Ramli terbabit dengan produksi luar ketika berada dalam kontrak,” katanya.
Nor Aniza berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media hari ini.
Dalam pada itu, Noraniza juga berdepan faktor kesihatan dan kesuntukan masa latihan sehingga memaksa mereka membuat keputusan sukar itu.
“Noraniza gagal mengurangkan beberapa komitmen aktiviti seni, termasuk penganjuran acara Akar Karya Zapin hingga menjejaskan kesihatan, sekali gus mengganggu jadual latihan yang ditetapkan lebih awal.
“Komitmen tetap perlu dilaksanakan kerana tidak dapat dielakkan, meskipun sudah dipersetujui pada awal. Atas beberapa faktor membabitkan kontinjen peserta zapin dari luar negara menyebabkan Noraniza terpaksa meneruskannya.
“Jadi, selepas mendapat nasihat beberapa pihak serta mempertimbangkan semua aspek penganjuran, produksi membuat keputusan menangguhkan Konsert Malai Solo buat sementara waktu sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kelak,” katanya.
Usaha Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan Noraniza atau pengurusannya berhubung penundaan konsertnya itu gagal.