Kami mahu 'enjoy' dulu - Hazama, isteri tangguh rawatan IVF - Utusan Malaysia

Kami mahu ‘enjoy’ dulu – Hazama, isteri tangguh rawatan IVF

HAZAMA, isteri akur masih belum dikurniakan zuriat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Hazama, memaklumkan dia dan isteri, Genervie Kam, menangguhkan seketika hasrat untuk menjalani rawatan kesuburan, In Vitro Fertilization (IVF) disebabkan sibuk dengan komitmen kerjaya.

Menurut Hazama, mereka masih menunggu masa yang sesuai untuk melakukan rawatan itu dan berkemungkinan akan dilaksanakan, tahun depan.

“Perkara ini akan kami fikirkan semula tahun depan. Tahun ini, kami mahu ‘enjoy’ dahulu. Buat masa sekarang, keadaan masih belum mengizinkan kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

“Saya dengan kerjaya seni, manakala isteri pula sibuk menguruskan perniagaan Asam Laksa yang semakin mendapat sambutan. Alhamdulillah, rezeki selepas pandemik.

“Tahun depan, umur isteri sudah memasuki 43 tahun. Saya risau juga sebab selalu dengar, mereka yang hamil pada usia melebihi 40 tahun, risikonya agak tinggi,” katanya.

Penyanyi lagu Peneman itu ditemui pada majlis perlantikan Duta Anti-Scam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras,  semalam.

Hazama bagaimanapun, menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT dan perkara itu tidak memberikan dia serta isterinya tekanan.

“Kita doakan sahaja yang baik-baik. Kami sudah berusaha dan berdoa, malah pelbagai ikhtiar turut dilakukan, namun rezeki belum menyebelahi saya dan isteri.

“Jika ada, adalah… Tetapi, jika sebaliknya saya reda dengan ketentuan rezeki. Bagi saya, dalam setiap kekurangan, pasti ada kelebihan. Kami cuba seimbangkan perkara itu, selain sentiasa bersyukur.

“Saya okay sahaja, tiada masalah. Keluarga pun okay, malah mereka tidak memberikan kami tekanan untuk segera menimang cahaya mata. Tekanan itu selalunya datang daripada orang luar,” katanya.

Hazama mendirikan rumah tangga bersama Genervie atau nama sebenarnya, Kam Shi Ling pada 15 Januari 2017.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya