KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Erma Fatima mencadangkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) agar mengkaji semula kriteria pemberian Dana Kandungan Digital (DKD).
Kata Erma, tindakan itu penting bagi memastikan dana tersebut tidak jatuh ke tangan yang salah.
“Tindakan sesetengah pihak yang memanipulasi dana tersebut untuk kegunaan peribadi sebenarnya menjahanamkan industri perfileman negara.
“Disebabkan mereka, permohononan penerbit atau pengarah yang layak untuk menerima bantuan tersebut tidak diluluskan.
“Saya harap Finas dapat mengkaji semula kriteria pemberiannya dan tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan tersebut begitu sahaja. Pilih penerbit atau pengarah yang betul, terutama pembikin filem sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Erma lagi, Finas perlu berhati-hati dan menilai terlebih dahulu latar belakang pemohon agar dana tersebut digunakan 100 peratus untuk menghasilkan filem yang bermutu.
“Sekarang ini, sesiapa sahaja boleh jadi produser filem. Jadi, kalau latar belakang mereka tidak dinilai, dana tersebut akan jatuh ke tangan orang yang salah.
“Sepatutnya, pemohon perlu disaring terlebih dahulu kerana kita tidak tahu siapa pembikin (filem) sebenar dan mana yang tidak,” tegasnya.