PERNIAGAAN sejadah yang diusahakan pelakon dan penyanyi, Azza Zawari menyelamatkan anggota kumpulan Elite itu daripada masalah kewangan kronik sewaktu penularan virus Covid-19, dua tahun lalu.
Azza yang juga duta kepada produk Deedat Air Care meluahkan rasa syukur kerana dilimpahkan rezeki yang tidak disangka-sangka apabila mengusahakan perniagaan tersebut.
“Perniagaan ini saya usahakan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.
“Sebelum itu, saya pernah berniaga jual pakaian, tetapi pintu sempadan negara ditutup menyebabkan keadaan kewangan saya semakin merosot.
“Rakan niaga saya cadangkan untuk saya jual sejadah. Mengenangkan persaingan, saya tidak berapa yakin ketika itu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran AzzaEliteXDeedat di Bandar Botanic Klang, dekat sini.
Namun, rezeki tidak salah alamat. Azza memaklumkan, dia tidak menyangka sejadah yang dijualnya menerima permintaan tinggi, khususnya dalam kalangan rakan industri yang berniat untuk menginfakkan sejadah dibeli.
“Saya buat dengan niat untuk sekadar ada punca pendapatan. Apabila kerajaan membenarkan penggiat seni memulakan kembali aktiviti penggambaran, saya bawa sejadah ke lokasi.
“Tidak sangka banyak permintaan yang diterima. Ramai rakan artis yang beli untuk infak,” katanya.
Disoal tentang pendapatan yang diterima dengan menjual sejadah, Azza memaklumkan, perniagaan tersebut memberikan pulangan yang selesa untuk dia dan seisi keluarga.
“Jualan sejadah tidak pernah mengecewakan. Pernah saya jual di Singapura, sejadah yang dibawa habis terjual.
“Ada yang beli untuk kegunaan sendiri, tetapi ada juga yang infak. Apabila mereka beli, kami akan edarkan tanpa sebarang kos tambahan,” katanya lagi.
Kata Azza, dia menjual sejadah bukan untuk kaya, sebaliknya mahu melakukan sesuatu yang mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.
“Saya jual sejadah bukan untuk untung. Saya suka melakukannya. Pada usia 40-an, saya hanya mahu melakukan kerja yang saya suka.
“Usia semakin meningkat dan saya tidak mahu mensia-siakannya dengan perkara tidak berfaedah. Saya mahu melakukan sesuatu yang mendekatkan saya dengan Allah SWT. Inilah jalan yang saya pilih,” tambahnya.
Rezeki ulas produk
“Terus terang, saya dibayar lebih tinggi dengan membuat review produk berbanding kerja lakonan.
Itu pengakuan Azza berkenaan pendapatan membuat ulasan produk yang turut memberikannya pulangan yang memberangsangkan.
Kata Azza, dia bersyukur kerana rezekinya terbuka luas, bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah cabang kerjaya lain.
“Bezanya terlalu banyak. Contoh, penggambaran satu episod drama memakan masa beberapa hari untuk disiapkan. Bayaran yang diterima kadang kala tidak setimpal.
“Untuk ulasan produk, bayaran yang saya terima nilainya dua kali ganda berbanding bayaran kerja berlakon.
“Untuk satu kerja, kadang kala kita dibayar sehingga RM3,000. Bergantung kepada tempoh review yang dibuat. Pendapatannya memang tinggi,” katanya.
Kata Azza lagi, seperti selebriti lain yang juga menjana pendapatan menerusi media sosial, dia amat berhati-hati dan menjaga sebaiknya platform itu.