PETALING JAYA: Pelawak dan penyanyi, Yassin Yahya mendedahkan, dia mengambil keputusan berundur daripada kumpulan Senario selepas ideanya untuk memulakan perniagaan ditolak beberapa ahli.
Berkongsi cerita tentang keputusan yang diambilnya pada 2003 itu, Yassin, 44, berkata, dia sudah lama mengimpikan untuk memulakan perniagaan dan percaya kekuatan jenama Senario akan mendapat sambutan ramai.
“Dari dulu lagi saya terfikir, sampai bila anak seni akan bergantung harap kepada label atau pihak tertentu untuk mencari pendapatan. Apatah lagi, pendapatan juga tidak menentu.
“Ketika itu, saya cadangkan untuk keluarkan cenderahati, namun ditentang beberapa ahli lain. Jadi, saya nekad untuk keluar daripada Senario.
“Mungkin ada yang cakap itu tindakan bodoh. Tetapi, itu adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Tidak ramai yang tahu saya keluar Senario,” katanya.
Yassin berkata demikian ketika ditemui pada majlis Feista Market Datuk Sudirman, baru-baru ini. Acara jualan melibatkan 16 selebriti itu turut mempromosikan Galeri Sudirman: Asia’s No 1 Performer di pusat beli belah, Fahrenheit88.
Sementara itu, Yassin kini mengorak langkah sendiri dengan mengeluarkan produk dandanan rambut dan penjagaan wajah di bawah jenama Sennaryo.
“Selepas beberapa tahun menjalankan kajian dan mencari keberanian untuk memulakan perniagaan, tahun ini saya lancarkan dua produk di bawah jenama tersebut. Bunyinya mungkin sama, tetapi ejaannya berbeza.
“Saya menghasilkan produk rambut, pomade dan pencuci muka tiga dalam satu yang kini boleh didapati menerusi pembelian di media sosial atau gerai jualan yang saya sertai,” katanya.