PETALING JAYA: Penyanyi, Dayang Nurfaizah mengunggul senarai pencalonan Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM 23) dengan enam nominasi pada acara yang akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 11 September ini.
Dayang mendominasi hampir kesemua kategori utama menerusi album Belagu, termasuk Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik (Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi) dan Rakaman Album Terbaik.
Penyanyi kelahiran Sarawak itu turut menerima dua lagi pencalonan bagi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi.
Sementara itu, penyanyi Yonnyboii dan Ernie Zakri mengikut rapat Dayang dengan masing-masing menerima empat pencalonan.
Ernie tercalon bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Sinar Mata Hati), selain dua kategori bagi Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama suaminya, Syamel dalam lagu Goodbye Hello serta Berakhirlah Pencarianku, duet bersama Hafiz Suip.
Album Yonnyboii (Deluxe Version) pula tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik dan Album Terbaik, selain menerima dua pencalonan bagi kategori Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik menerusi Tak Sangka dan Orang Lain.
Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM23 , Rosmin Hashim berkata, edisi kali ini menyingkirkan satu kategori iaitu Lagu India Tempatan Terbaik menjadikan 21 kategori dipertandingkan dengan 105 calon.
“RIM menerima 650 jumlah pencalonan dan ini memberikan petunjuk industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik serta menuju proses pemulihan selepas pandemik.
“Penambahan beberapa kategori anugerah baharu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pencalonan untuk tahun ini.
“Kami terpaksa menyingkirkan kategori Lagu India Tempatan Terbaik kerana kebanyakan lagu yang dicalonkan tidak memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosmin turut mengumumkan barisan panel juri pencalonan AIM23 yang dianggotai penggiat industri muzik yang dihormati seperti LY, Fauzi Marzuki dan Datuk Acis.
“Proses penjurian diketuai Datuk Mokhzani Ismail. Markah juri diaudit oleh firma pengauditan, Mazars. Proses penjurian juga ditadbirkan oleh pihak ketiga yang bebas, Macomm Management Services Sdn. Bhd,” ujarnya.
AIM 23 bakal disiarkan Astro Ria (104) bermula jam 9 malam.