PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Datuk Aishah, berharap perjuangannya menuntut hak kemenangan ketika menjuarai Gegar Vaganza (GV) musim keempat akan membuka mata pelbagai pihak untuk menghormati golongan anak seni.
Jelas Aishah, biarpun melalui pelbagai fasa kecaman dan tohmahan sepanjang lima tahun menuntut hak tersebut, perjuangannya itu dirasakan berbaloi.
“Ini bukan soal pampasan semata-mata, tetapi prinsip memperjuangkan hak sebagai anak seni. Saya harap kes ini akan buka mata semua pihak, terutama mereka yang melihat kami mudah dibuli hanya kerana kami berjuang sendiri.
“Saya juga berharap kes ini menjadi tauladan, bukan sahaja kepada pihak penyiaran dan penaja program, tetapi juga adik-adik saya dalam dunia seni yang mungkin sedang ditindas.
“Hormati kami sebagai anak seni. Tunaikan janji yang telah diuar-uarkan. Macam-macam saya lalui sepanjang lima tahun ini. Dihina, dimaki tetapi perjuangan ini berbaloi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aishah menerusi Instagram, semalam meluahkan rasa syukur apabila kes berkaitan tuntutan sebidang tanah lot banglo yang dimenangi ketika menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017 telah selesai.
Menerusi kenyataan peguamnya di Instagram, pihak penaja hadiah berkenaan telah tampil dengan dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu.
Aishah bagaimanapun berkata, dia tidak boleh mendedahkan isi tawaran penyelesaian yang telah dipersetujui. Secara umum katanya, ia melibatkan pampasan wang tunai dan satu tuntutan tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak defendan.
“Ada yang tuduh saya tamak dan mengecam tindakan saya meminta lebih daripada hadiah dijanjikan, tetapi apa yang dituntut adalah hak kemenangan seperti diumumkan.
“Kepada adik-adik saya (peserta GV4) yang mungkin belum menuntut hak masing-masing, inilah masa yang tepat. Ambil tindakan sewajarnya untuk menuntut hak kita. Kemenangan ini adalah pengajaran untuk kita semua.
“Saya tidak kaya, tidak dapat bantu kawan-kawan lain. Cuma, menerusi perjuangan ini, saya harap tiada lagi pihak yang berani menindas atau memperkecilkan penggiat seni,” katanya.